Manage PermissionsManage Permissions

Pemegang kod kuning kini dibolehkan buat tempahan slot



‚ÄčOleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 



 

BERAKAS, Isnin, 29 Jun. - Pemegang kod aplikasi BruHealth berwarna kuning dibolehkan untuk menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara, bermula 3 Julai nanti.

 


Oleh itu, mereka bolehlah membuat tempahan slot untuk menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat mulai hari ini.

 


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 


Sementara itu, Yang Berhormat berkata, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini.

 


"Ini bermakna jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 141 orang," ujar Yang Berhormat.

 


Yang Berhormat menambah, seramai 409 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan melibatkan mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

 


Manakala, jelas Yang Berhormat, seramai 2,698 orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

 


"Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 112 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 29,223 ujian," kata Yang Berhormat.

 


Dalam pada itu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa seramai 405,034 individu dan 10,879 syarikat juga premis mendaftar bagi aplikasi BruHealth.

 


Bagi aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,948 dimuat turun oleh 4,262 premis perniagaan.


 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi 'healthinfo.gov.bn'.



Close