Manage PermissionsManage Permissions

Tinjauan ke kawasan terjejas banjir



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Jun. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan mengadakan tinjauan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir di Daerah Belait, di sini.

 


Lawatan kerja tersebut merupakan kesinambungan kepada lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke kawasan terjejas banjir di Daerah Tutong pada 28 Jun 2020 bersama Pegawai-pegawai Daerah selaku Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) yang bertindak sebagai Penyelaras Bersama di peringkat daerah.

 


Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Yang Berhormat mendengarkan penerangan daripada Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin selaku Pengerusi DDMC Belait mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

 


Laporan banjir yang diterima sejak 28 Jun 2020 hingga hari ini menjejaskan beberapa kawasan di Daerah Belait, iaitu di Kampung Sungai Mau, Jalan Laid Lakang, Jalan Kandul, Kampung Merangking Hilir, dan Kampung Sukang yang melibatkan sebanyak 23 buah rumah dan 105 penduduk kampung.

 


DDMC Belait membuat beberapa tindakan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi 'B', Cawangan Belait.


 

Pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut mengedarkan bantuan catuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas bermula 28 Jun 2020, manakala pihak Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut membantu dalam membekalkan keperluan-keperluan logistik, seperti perahu / temuai untuk kegunaan operasi dan bagi kemudahan pengangkutan orang kampung yang terjejas.

 


Turut menyertai lawatan kerja, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Timbalan Setiausaha Tetap; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN; Pegawai Daerah Belait; Pemangku Pengarah NDMC; Penghulu; dan Ketua-ketua Kampung di Mukim Bukit Sawat; juga pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan berkenaan.



Close