Manage PermissionsManage Permissions

Masalah penyalahgunaan dadah rantau ASEAN dibincangkan



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Jun. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii menghadiri Mesyuarat AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) Ke-3 yang diadakan secara dalam talian dan dihoskan oleh National Assembly of Viet Nam.

 


Hadir sama di mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar serta Pegawai-pegawai dari Biro Kawalan Narkotik.

 


Mesyuarat AIPACODD Ke-3 bertemakan 'Turning Words Into Actions Towards A Drug Free ASEAN Community' adalah sebuah platform parlimen penggubal undang-undang untuk membincangkan masalah-masalah penyalahgunaan dadah di rantau ASEAN yang semakin membimbangkan.


 

Mesyuarat ini juga dihadiri oleh wakil-wakil daripada ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD) dan wakil dari The United Nations Office on Drugs and Crimes (UNODC) yang mengongsikan cabaran dan pengalaman dalam membendung gejala dadah.

 


Perkara-perkara utama yang telah dibincangkan pengedaran dadah dari wilayah Golden Triangle, yang belum lagi dapat dikawal sepenuhnya. Justeru, AIPA berperanan besar melalui pihak eksekutif untuk dapat sama-sama mengawalnya dalam peraturan dan pengawalan dalam pencegahan penyalahgunaan dadah. Ini termasuklah implementasi ubat-ubatan semasa rehabilitasi bagi pesalah-pesalah kerana perkara ini perlu juga mengambil kira hak asasi manusia dan ini tertakluklah juga kepada peraturan-peraturan bagi sesebuah negara itu juga dengan melibatkan pihak-pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO).

 


Mesyuarat membincangkan situasi pencegahan dadah dalam konteks pandemik COVID-19 yang merubah skop pengedaran dan cabaran-cabarannya. Seterusnya meluluskan sebuah resolusi mengenai 'Turning Words into Action towards a Drug-Free ASEAN Community' yang menumpukan perhatian sepenuhnya untuk negara-negara ahli AIPA dalam perkara-perkara bagi menangani dadah di rantau ini, termasuk memastikan pelaksanaan berkesan aktiviti 'ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016 - 2025 in addressing the illicit drug activities', meningkatkan kesedaran akan bahaya dadah, meningkatkan kajian akan kesan COVID-19 kepada pasaran dadah, penggunaan dadah dan jenayah yang berkaitan dadah demi menyediakan tindak balas bersesuaian, menggalakkan kerjasama dua hala serantau dan antarabangsa melalui perkongsian maklumat, kerjasama rentas sempadan, bantuan teknikal dan meningkatkan keupayaan untuk menangani masalah dadah di rantau ini dengan lebih berkesan terutamanya tempoh pasca-COVID-19. Resolusi berkenaan juga menekankan akan perlunya untuk mesyuarat AIPACODD memperkukuhkan kerjasama dengan rangkaian serantau seperti ASEAN Ministerial Meeting on Drug Matters (AMMD) dan ASOD.

 


Pada akhir mesyuarat, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii menyampaikan ucapan selaku wakil Pengerusi Mesyuarat AIPACODD Ke-4 yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 2021 nanti.

 


Dalam ucapannya, Yang Berhormat menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam menyambut baik usaha dan inisiatif bersama anggota Parlimen AIPA dalam menjayakan pertemuan ini. Beliau menyatakan bahawa masalah-masalah dan isu-isu sebelum COVID-19 terutamanya isu dadah terlarang terus memberikan kesan berterusan di dalam komuniti dan seterusnya menekankan perlunya anggota Parlimen AIPA untuk terus membincangkan dan mencari penyelesaian bagi menangani cabaran-cabaran untuk membanteras gejala dadah.



Close