Manage PermissionsManage Permissions

Tinjau kawasan terjejas banjir Daerah Tutong



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman

 




TUTONG, Isnin, 29 Jun. - Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari ke belakangan ini menyebabkan berlakunya kejadian banjir di beberapa buah rumah dan jalan raya di kawasan rendah di pedalaman Daerah Tutong ditenggelami air.

 


Kawasan-kawasan yang sering terjejas termasuklah kawasan-kawasan rendah di persekitaran Kampung Rambai, Kampung Benutan, Kampung Kuala Ungar dan Kampung Panchong. Semasa tinjauan Pelita Brunei bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Lamunin, Daerah Tutong ke beberapa buah kawasan yang terjejas mendapati beberapa batang jalan raya dan beberapa buah rumah ditenggelami air.

 


Menurut ABK 517 Zakaria bin Haji Ismail yang sedang menjalankan tugasan pemantauan paras air di kawasan-kawasan terjejas tersebut bersama ABKS 355 Jasni bin Yuntong, beberapa batang jalan raya tidak selamat dilalui oleh kenderaan biasa disebabkan oleh paras air yang naik sehingga ke paras 1.0 meter (m).

 


Pemantauan keadaan paras air di Kampung Keranching Benutan dan Jalan Bangkuru (Mukim Rambai) sekitar jam tiga petang hari ini adalah sekitar 0.70m dan 1.0m dengan jarak sejauh 600 hingga 700m di mana ia tidak selamat dilalui oleh kereta salon dan hanya dapat dilalui oleh kenderaan berat (trak) sahaja selain menggunakan bot.

 


Sementara itu, di Jalan Kuala Unggar / Rambai mempunyai paras air 0.30m (jarak jauh 300m) hanya dapat dilalui kenderaan pacuan empat roda dan di Jalan Rambai mempunyai paras air 0.05m (jarak jauh 300m) dapat dilalui oleh kereta salon.

 


Tambah ABK 517 Zakaria lagi, jika hujan sudah berhenti, ia akan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk air tuhus dan keadaan kembali normal. Terdahulu, semasa ditemui Stesen Komander Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Lamunin, Awang Yong Fook Ching menjelaskan, mereka akan menjalankan pemantauan paras air dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang serta memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas apabila diperlukan.

 


Beliau berkata, paras air mula naik sejak 23 Jun lalu setelah hujan lebat turun berterusan. Kejadian banjir ini memang sedia dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tutong (DDMC) melalui beberapa tindakan awal yang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkenaan mengikut bidang tugas masing-masing.

 


DDMC juga telah membuat beberapa persediaan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui JBP Cawangan Lamunin Daerah Tutong, penyediaan keperluan kenderaan jenis trak oleh pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi beberapa buah kawasan jalan yang teruk terjejas serta penyediaan beberapa buah perahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) melalui Jabatan Daerah Tutong.

 


Dalam hubungan ini, penduduk kampung yang terjejas serta orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan harta benda khususnya dokumen-dokumen penting untuk disimpan di kawasan yang tinggi dan selamat.

 


Selain itu, orang ramai juga diharapkan agar sama-sama menjaga kesejahteraan ahli keluarga masing-masing dan mengelakkan daripada melakukan aktiviti-aktiviti seperti berenang atau bermandi-manda di kawasan banjir demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.



Close