Manage PermissionsManage Permissions

Terus laksana tanggungjawab sosial



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Orang ramai sentiasa diingatkan untuk tidak lalai dan leka juga terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di negara ini bagi sama-sama berwaspada mencegah penularan jangkitan wabak tersebut.

 

Selain itu, orang ramai juga sentiasa diingatkan untuk sentiasa mematuhi nasihat dan mempraktikkan garis pandu yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar menekankan mengenai perkara itu ketika menjawab pertanyaan daripada pihak media pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 

Terdahulu, Yang Berhormat memaklumkan kepada orang ramai bahawa tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini, yang bermakna jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 141 orang.

 

Sementara itu, terdapat 407 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan, iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

 

Dan setakat ini, seramai 2,704 orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

 

Dalam tempoh 24 jam lalu, jelas Yang Berhormat lagi, sebanyak 324 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 menjadi 29,547 ujian.

 

Berikutan makluman mengenai aplikasi BruHealth, menurut Yang Berhormat lagi, setakat ini, seramai 406,071 ahli mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

 

Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,950 mendaftar, dan manakala bagi aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,995 dimuat turun oleh 4,269 premis perniagaan.



Close