Manage PermissionsManage Permissions

Operasi 'Merati' : Patuhi arahan Kementerian Kesihatan



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Masri Osman, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Pada Sidang Media mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar memaklumkan bahawa satu operasi rondaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan dijalankan baru-baru ini.

 

Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan, khususnya restoran, gerai makan dan 'food court' adalah bagi memastikan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam pengawalan jangkitan COVID-19 dipatuhi oleh para pengurus dan kakitangan premis.

 

Menurut Yang Berhormat, Operasi 'Merati' tersebut dijalankan di salah sebuah gedung perniagaan di Bandar Seri Begawan, di mana sejumlah 21 buah premis makanan ditinjau oleh Pegawai-pegawai Penguat Kuasa daripada Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

 

Hasil daripada operasi tersebut, tiga daripada 21 premis perniagaan tidak mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dan dikenakan denda kompaun oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan.

 

Antara kesalahan-kesalahan yang didapati semasa operasi tersebut adalah seperti, tidak menyediakan pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis; tidak memakai sungkup muka (face mask) bagi pengendali dan penyedia makanan; dan tidak ada penjarakan sosial disediakan di premis berkenaan bagi keselamatan pengunjung yang datang (dine in mahupun take away).

 

Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan, Kementerian Kesihatan ingin sekali lagi menekankan juga mengingatkan para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan Kementerian Kesihatan juga terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

 

Terutama sekali untuk mendapatkan Kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut, seterusnya mencetak Kod QR dan melekatkannya di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan sebelum masuk juga sejurus sebelum meninggalkan premis; melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan di pintu masuk; dan memastikan pelanggan mematuhi garis panduan penjarakan sosial, di samping mengamalkan langkah-langkah kebersihan di dalam premis perniagaan.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi 'healthinfo.gov.bn'.



Close