Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Kesyukuran sempena Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ke-37 Tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Dewan Serbaguna, Kompleks Bangunan YSHHB, di sini.

 

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

 

Atur cara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

 

Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB Ke-37 Tahun.

 

Duli Yang Teramat Mulia dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB pada 18 Jamadilakhir 1434 Hijrah / 1 Mac 2013 Masihi.

 

Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di YSHHB, DYTM sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan YSHHB.

 

DYTM juga sering berkenan meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan juga dianjurkan YSHHB.

 

Dengan mengambil kira situasi semasa berkaitan jangkitan wabak COVID-19 dan bagi memastikan keselamatan semua pihak, majlis dihadiri oleh Pengerusi juga Ahli-ahli Lembaga Pengarah bersama sebahagian Pegawai-pegawai Kanan YSHHB sahaja dengan jumlah yang terhad.

 

Juga hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.



Close