Manage PermissionsManage Permissions

YSHHB hulur sumbangan berjumlah BND50,000



‚ÄčOleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Sejumlah BND50,000 diserahkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada acara yang berlangsung di kementerian berkenaan hari ini.

 

Sumbangan tersebut diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan YSHHB.

 

Ia adalah sebagai sokongan pihak YSHHB terhadap langkah-langkah penjagaan dan keselamatan dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini, bagi keperluan peralatan kebersihan dan keselamatan khusus bagi masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara yang memerlukan.

 

Walaupun negara kita tidak mencatatkan sebarang jangkitan COVID-19 lagi, akan tetapi setiap individu di negara ini masih disarankan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

 

Sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu dalam penjagaan kebersihan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat untuk menjamin kesejahteraan para jemaah masjid.

 

YSHHB adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga baginda, iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda, di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

 

Juga hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; dan Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.




Close