Manage PermissionsManage Permissions

Penyerahan kunci bangunan baharu Sekolah Ugama Jalan Bedil



​Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Ke arah mendukung visi dan misi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Wawasan Brunei 2035, penyediaan kemudahan-kemudahan yang relevan bagi meningkatkan tahap keselesaan pelajar dan tenaga pengajar dalam memberikan pengetahuan dan pendidikan rakyat di negara ini amatlah diambil perhatian.

 

Sehubungan itu, KHEU dan Kementerian Pembangunan mengadakan Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Baharu Sekolah Ugama Jalan Bedil berlangsung di bangunan baharu sekolah berkenaan.

 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan acara penyerahan kunci bangunan. Penyerahan kunci diserahkan daripada pihak pemborong LCY Development Sdn. Bhd. kepada Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku pelaksana projek dan kemudiannya menyerahkan kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

 

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya berkesudian memotong reben bagi menandakan perasmian pembukaan bangunan Sekolah Ugama Jalan Bedil. Turut hadir Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; Ketua Pengarah Kerja Raya; Pengarah-pengarah dan Pegawai-pegawai serta kakitangan KHEU dan Kementerian Pembangunan.

 

Pada majlis itu juga diselajurkan dengan lawatan bagi meninjau prasarana dan kemudahan yang terdapat di bangunan berkenaan. Bangunan baharu tersebut dilengkapi dengan 18 buah bilik darjah yang secara keseluruhan boleh menampung seramai 540 pelajar dan ruang pejabat guru-guru.

 

Bangunan tersebut juga dilengkapi dengan ruang dewan serbaguna, ruang legar VIP dan pelawat, bilik mesyuarat, bilik ICT, bilik perpustakaan, kantin dan yang lainnya.




Close