Manage PermissionsManage Permissions

Jerayawara perintah bayaran keluar, masuk diteruskan



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman




 

TUTONG, Isnin, 13 Julai. - Penduduk tempatan yang ingin melalui pos-pos kawalan darat bagi tujuan keluar, masuk atau transit melalui Negara Brunei Darussalam kecuali kategori yang diberikan pengecualian akan dikenakan Caj Perkhidmatan (CaP) sebanyak BND3.00 seorang bagi setiap hala perjalanan bermula 1 Ogos ini.

 

Sehubungan itu, mereka yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar atau masuk ke negara ini hendaklah mendaftar dan menghadapkan permohonan melalui Exit and Entry System (EES), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang boleh diakses melalui 'https://login.bdnsw.gov.bn/ees'.

 

Perkara tersebut disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Dayang Suraya binti Haji Jaidin pada Jerayawara Pelaksanaan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 bagi Daerah Tutong.

 

Namun perlu diperingatkan bahawa tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri adalah masih dikekalkan sepertimana nasihat Kementerian Kesihatan sebelum ini. Kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu dari Jabatan Perdana Menteri.

 

Turut dikongsikan pada majlis tersebut ialah kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan kompaun di bawah Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk 2020. Jerayawara dihadiri oleh penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan daerah berkenaan.

 

Objektif utama pelaksanaan caj ini adalah untuk menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang telah dikenakan dan berjalan pada masa ini kepada orang ramai yang keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut. Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan demonstrasi tatacara permohonan EES yang dikendalikan oleh Pegawai-pegawai JKED yang hadir. 




Close