Manage PermissionsManage Permissions

Niat yang baik sudah terpahat di sisi Allah



‚ÄčOleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Ihsan Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Pejabat Kebawah DYMM Istana Nurul Iman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Pada tahun ini dengan perasaan yang amat berat, kita telah menangguhkan ibadat haji ke Baitullah.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, ini juga adalah satu jenis ujian untuk menguji kesabaran kita, kerana pada zahirnya, penangguhan ini adalah seperti satu kerugian, tetapi apabila kita menerimanya dengan sabar, maka tidak mustahil Allah akan menukar kerugian itu dengan keuntungan, berdasarkan niat kita dari awal-awal lagi ialah untuk melakukan ketaatan kepada Allah, tetapi dengan takdir-Nya jua niat yang baik itu terhalang oleh keadaan.

 

Bertitah sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi di Istana Nurul Iman, di sini, baginda seterusnya menjelaskan bahawa Allah Yang Maha Pemurah, akan menulis ganjaran pahala bagi hamba-Nya yang berniat untuk melakukan amal soleh, walaupun dia belum melaksanakan niatnya itu.

 

"Sebaliknya hamba yang berniat untuk melakukan kejahatan tidak akan ditulis kejahatannya kecuali setelah dia melaksanakan niat jahatnya itu," tegas baginda lagi.

 

Sehubungan itu, titah baginda lagi, inilah tanda kepemurahan Allah, Dia mengurniakan ganjaran upah kerana niat yang baik, walaupun belum berlaku lagi sebarang amal melaksanakan niat baik itu. Begitu juga tanda keadilan dan belas kasihan Allah, Dia tidak atau belum menghukum sesiapa yang berniat jahat, selama mana niat jahat itu belum dilaksanakan menjadi kenyataan.

 

Oleh yang demikian, jelas baginda, jadi, penangguhan untuk menunaikan ibadat haji bagi mereka yang telah tersenarai pada tahun ini janganlah merasa kecewa atau berdukacita, berdasarkan niat baik mereka telah pun terpahat di sisi Allah untuk diberikan ganjaran pahala menurut kehendak-Nya.

 

Baginda mengingatkan bahawa penangguhan berlaku adalah kerana perkara 'keselamatan'. "Keselamatan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan. Ia mesti dijaga atau dipelihara. Apa-apa jua perkara yang tidak selamat mestilah dielakkan," titah baginda lagi.

 

Bagi mengakhiri titah, baginda dan keluarga baginda, ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam. "Semoga sekalian kita akan mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala berkat Hari Raya yang mulia ini, Amin," titah baginda.




Close