Manage PermissionsManage Permissions

Bina keazaman, keimanan dan sabar hadapi ujian



‚ÄčOleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Ihsan Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Pejabat Kebawah DYMM Istana Nurul Iman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Aidiladha, yang dinamakan juga sebagai Hari Raya Korban, adalah disunatkan untuk kita menyembelih binatang korban di dalamnya.

 

Peristiwa korban adalah berasal dari perintah Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih putera Baginda, Nabi Ismail 'Alaihi Massalam.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjelaskan perkara itu dalam Titah Perutusan sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi di Istana Nurul Iman.

 

Ini, jelas baginda, merupakan peristiwa yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran di antara dua beranak ini. Namun akhirnya mereka berjaya melalui ujian tersebut.

 

Adapun kita umat yang datang kemudian, tegas baginda, adalah wajar untuk membina azam bagi memiliki keimanan dan kesabaran yang sama, khasnya ketika kita menghadapi satu-satu ujian berat lagi mencabar.

 

Baginda seterusnya bertitah bahawa dunia pada masa ini, termasuk kita umat Islam, masih saja diuji dengan pandemik Coronavirus. Setiap negara mempunyai pasukan petugasnya masing-masing. Sehubungan itu, titah baginda, mereka ini tidak syak lagi memiliki semangat rela berkorban yang tinggi, sehingga sanggup berhadapan dengan risiko bahaya tanpa mengira masa dan keadaan.

 

"Kesanggupan ini menandakan sikap sabar yang tebal di kalangan para petugas itu. Sesungguhnya ia bukanlah sia-sia, tetapi bagi kita orang Islam telah dijanjikan dengan ganjaran istimewa, sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Az-Zumar, ayat 10, tafsirnya : "Sesungguhnya hanya orang-orang yang sabar jua yang akan disempurnakan untuk mereka itu ganjaran pahala tanpa terkira," titah baginda.




Close