Manage PermissionsManage Permissions

Kes COVID-19 masih kekal 141



​Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Negara Brunei Darussalam masih tidak mencatatkan kes COVID-19 sehingga ke hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes penyakit tersebut masih kekal seramai 141 orang.

 

Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai Situasi Terkini Penyakit COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, tidak ada kes aktif dilaporkan dan kes yang sembuh masih kekal 138 orang.

 

Manakala jumlah mereka yang menjalani pengasingan diri mandatori seramai 436 orang dan jumlah keseluruhan mereka yang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak bulan Mac 2020 pula adalah seramai 3,717 orang.

 

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, jumlah ujian SARS-CoV-2 yang dijalankan adalah sebanyak 461 sampel dan jumlah keseluruhan ujian makmal SARS-CoV-2 sejak bulan Januari 2020 adalah sebanyak 40,663 ujian.

 

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan orang ramai, terutamanya mereka yang telah mendapat kebenaran untuk membuat perjalanan ke luar negara dan di mana negara yang dituju memerlukan mereka menjalani ujian 'swab' bagi SARS-CoV-2 terlebih dahulu sebelum tiba ke negara tersebut di mana buat ketika ini, ujian tersebut hanya dapat dilakukan di fasiliti-fasiliti kerajaan atau fasiliti-fasiliti lain yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan sahaja.

 

Sebaik sahaja keputusan ujian dikeluarkan, pihak Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan surat pengesahan keputusan ujian tersebut untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa di negara yang dituju.

 

Orang ramai yang perlu membuat ujian 'swab' untuk sebab-sebab yang tertentu adalah dinasihatkan untuk pergi ke Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha atau pusat-pusat kesihatan tertentu yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

 

Sementara itu, mana-mana premis yang menawarkan perkhidmatan ujian 'swab' tanpa mempunyai kebenaran atau pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan adalah dikira melanggar undang-undang di mana boleh dikenakan denda kompaun sehingga BND5,000 atau jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga BND10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

 

Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan di 'www.moh.gov.bn' atau hubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi 'healthinfo.gov.bn'. 




Close