Manage PermissionsManage Permissions

Hayati takbir dalam kehidupan



​Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. – 'Allahuakbar', Allah Yang Maha Besar dari segala sesuatu, tiada tandingan dan tidak dapat dibandingkan dengan apa pun jua. Itulah kalimat takbir yang bergema, memenuhi seluruh bumi di mana pun kaum Muslimin berada.

 

Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abd. Majid yang juga selaku Dai'e Bertauliah, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dalam tazkirahnya bertajuk 'Memahami Etika Takbir Dalam Kehidupan' menyatakan bahawa 'Allahuakbar', kalimah pengagungan yang membangkitkan semangat, menggetarkan jiwa yang beriman, agar tunduk patuh pada penciptanya.

 

Jelasnya bahawa kalimah 'Allahuakbar' itu memenuhi kehidupan seorang Muslim, memberi makna dan penghayatan yang mendalam bagi mengharungi samudera kehidupannya di dunia ini.

 

"Allahuakbar, Dialah Allah yang Maha Besar, yang dipuji oleh makhluk-Nya pada hari Nahar, yang sampaikan oleh Rasulullah sebagai hari yang paling agung di sisi Allah. Allahuakbar, Allah yang Maha Besar, dalam seluruh nama dan sifat-Nya. Allahuakbar, Dialah yang Maha Besar, dalam segala takdir dan ketentuan-Nya," lafaz Awang Muhammad Yussof lagi.

 

Beliau menyebut takbir 'Allahuakbar' seterusnya menyatakan Dialah yang Maha Besar yang menurunkan bagi kaum Muslimin akan Al-Quran sebagai sumber kebahagiaan dan kekuatan, sumber hidayah dan petunjuk. Yang andai Al-Quran diturunkan ke atas gunung pasti gunung itu akan runtuh berkeping-keping kerana takut pada Allah.

 

"Allahuakbar, Allah yang Maha Besar, Dialah yang mengutus bagi kita umat Islam, seorang Rasul yang diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam semesta. Allahuakbar, Allah yang Maha Besar, yang menjamin rezeki seluruh hamba-Nya.

 

"Tidak ada daya dan kekuatan bagi makhluk untuk mendapatkan apa pun melainkan dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala dan Dialah Allah Yang Maha Besar, mengurniakan anugerah yang tidak terbilang bagi 'kitani' semua pada setiap waktu dan saat, terutamanya anugerah Islam dan Iman.

 

"Allahuakbar, Dialah Allah yang Maha Besar, yang menetapkan adanya ajal (ketentuan waktu) bagi semua makhluk-Nya. Allah yang menciptakannya dan kepada Allah jua 'kitani' akan kembali.

 

"Allahuakbar, inilah kalimah yang agung, yang kandungannya, bagaikan lautan yang sangat dalam, samudera yang tidak bertepi dan gurun padang pasir yang tidak berpenghujung". Sebelum mengakhiri tazkirahnya, beliau menerangkan akan kelebihan apabila kalimah takbir ini dihayati dalam kehidupan kita.

 

Kalimat yang mengiringi dalam setiap gerak geri seorang Muslim tatkala dilaungkan azan, adanya takbir dan begitu juga semasa melaungkan Iqamah serta semasa menunaikan ibadah sembahyang lalu kalimah tersebut yang dipegangnya dalam dasar tindak tanduknya, rancangan dan keputusannya.

 

Mereka yang hidup dengan kalimah takbir ini, pastinya akan hidup dengan kehidupan yang mulia dan agung dan dibangkitkan pula dalam kemuliaan serta sejahtera.

 

Tazkirah tersebut amat bertepatan dalam mengimarahkan lagi Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1441 Hijrah dan menghidupkan malam Hari Raya Aidiladha dengan majlis tumpuan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara malam tadi.

 

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang seterusnya memimpin bacaan Ummul Kitab, Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

 

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan kerajaan serta penyertaan Kumpulan Belia Masjid Daerah Brunei Muara, Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) dan penduduk sekitarnya.

 

Untuk memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

 

Meskipun situasi kali ini dengan norma baharu berikutan dalam langkah bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini, kita merafakkan syukur kerana dalam fasa 'de-escalation' sekarang ini, umat Islam berkesempatan melaungkan takbir, tasbih dan tahmid bergema di seluruh masjid surau dan balai ibadat bersempena Aidiladha tahun ini.

 

Namun demikian, kita jangan leka dengan langkah-langkah keselamatan seperti yang disarankan pihak berwajib terutama dalam kita meraikan Aidiladha tahun ini.




Close