Manage PermissionsManage Permissions

Penyusuan susu ibu perlu rantaian sokongan



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan meraikan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dari 1 hingga 7 Ogos 2020. Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan setiap tahun di seluruh dunia untuk menggalakkan, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu kerana ia adalah salah satu pelaburan (investment) yang bijak dan 'cost effective' yang harus diambil oleh setiap negara, masyarakat dan keluarga. Bukan sahaja amalan ini terbaik untuk para ibu dan anak damit, malahan ia mendatangkan pelbagai faedah kepada ekonomi dan produktiviti negara.

 

Tema sambutan pada tahun ini ialah 'Menyokong Penyusuan Susu Ibu untuk Planet yang Lebih Sihat' (Support Breastfeeding for a Healthier Planet) adalah untuk menarik perhatian mengenai hubungan antara penyusuan susu ibu dan impaknya terhadap perubahan persekitaran serta perubahan iklim. Ia juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada penyusuan ibu sebagai satu pilihan yang pintar iklim (climate-smart decision), serta menghasilkan tindakan-tindakan bagi meningkatkan kesihatan planet (health of the planet) dan manusia melalui penyusuan susu ibu.

 

Ini dinyatakan dalam perutusan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.

 

Dalam perutusan Yang Berhormat berkata, perubahan iklim dan kemerosotan persekitaran adalah beberapa cabaran yang dihadapi dunia pada masa ini. Setiap individu mempunyai peranan untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan jejak karbon (carbon footprints) dan jejak ekologi (ecological footprints) mereka dan ini termasuklah cara kita memberi pemakanan kepada anak-anak damit.

 

Ujar Yang Berhormat lagi, amalan penyusuan susu ibu boleh mengurangkan impak serta kesan terhadap persekitaran kerana ia tidak memerlukan proses pembungkusan, pengedaran dan penyediaan yang lazimnya berlaku dalam produksi pemakanan pengganti susu (breastmilk substitutes) untuk anak damit dan selain itu, pemberian penyusuan ibu hanya memerlukan ibu untuk mengambil makanan tambahan sahaja dengan menggunakan sumber semula jadi yang sedikit serta tidak mengakibatkan banyak pembaziran, manakala proses penyusuan susu ibu khususnya secara langsung (direct breastfeeding) dan ekspresi susu ibu dengan tangan (hand-expressed breastmilk) juga adalah lebih efisien dari segi pengurangan sisa, penjimatan tenaga dan sumber-sumber lain.

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, di samping itu, dengan meningkatkan amalan penyusuan susu ibu secara optimal juga dapat mencegah lebih dari 823,000 kematian kanak-kanak dan 20,000 kematian ibu di seluruh dunia setiap tahun, oleh itu, semua ibu bapa harus disokong untuk membuat pilihan pemakanan yang sihat untuk anak damit mereka, termasuk penyusuan susu ibu, oleh itu, marilah kita berusaha untuk mewujudkan dan memperkuatkan lagi persekitaran yang sesuai untuk penyusuan susu ibu.

 

"Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam kita mendukung dan melindungi amalan penyusuan susu ibu, Penguatkuasaan Peraturan Cuti Beranak 2011 telah dilaksanakan semenjak 1 Januari 2011, di mana tempoh cuti beranak telah dipanjangkan dari 56 hari kepada 105 hari bagi warga ibu yang bekerja di dalam Perkhidmatan Awam dan turut dilaratkan kepada ibu-ibu yang bekerja di sektor swasta. Keprihatinan dan pemedulian pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke atas kesejahteraan rakyat dan penduduk khasnya kepada para ibu jelas terbukti dengan membantu para majikan dalam sektor swasta membayar gaji penuh para ibu bagi tempoh lima minggu cuti beranak. Perlindungan kebajikan ke atas ibu seperti dasar Peraturan Cuti Beranak 2011 ini membolehkan dan memudahkan amalan penyusuan susu ibu," tambah Yang Berhormat.

 

Sementara itu, terang Yang Berhormat lagi, Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan juga telah memberikan latihan yang berterusan kepada Pekerja Kesihatan Professional mengenai dengan penyusuan susu ibu bagi membolehkan mereka memberikan sokongan bagi ibu-ibu di NBD dan dengan inisiatif ini, ibu-ibu terutamanya mereka yang baru melahirkan boleh mendapat akses kepada kaunseling penyusuan susu ibu dengan segera, di samping itu, NBD juga telah membuat pelaksanaan dan pemantauan Kod Pemasaran Antarabangsa Pengganti Susu Ibu (International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes) pada tahun 2019.

 

"Alhamdulilah dengan adanya langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menggalakkan, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu di NBD, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif (iaitu enam bulan pertama) telah meningkat dari setahun ke setahun dari tahun 2012, di mana kadar peratus penyusuan susu ibu secara eksklusif pada tahun itu adalah hanya sebanyak 35 peratus. Manakala penyusuan eksklusif untuk tempoh enam bulan pertama dari bulan April hingga September 2019 adalah sebanyak 47 peratus. Ini menunjukkan peningkatan yang sangat menggalakkan dan juga adalah melebihi daripada kenaikan yang dianggarkan, iaitu 45 peratus bagi tahun 2019-2020," jelas Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat dalam perutusannya juga berkata dalam merealisasikan tema objektif Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini, Kementerian Kesihatan sangat mengharapkan sokongan padu berterusan dan penglibatan proaktif daripada pelbagai pihak yang berkepentingan untuk sama-sama bertanggungjawab dan komited ke arah meningkatkan dan mengukuhkan lagi tahap kesihatan negara, terutama sekali bagi memberikan sokongan kepada ibu dan keluarganya dari segi penyusuan susu ibu.



 


Close