Manage PermissionsManage Permissions

IHP Jun 2020 meningkat 2.6 peratus



Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Jun 2020 meningkat sebanyak 2.6 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan bulan Jun 2019.

 

Harga Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus. Manakala, harga Bukan Makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus.

 

Peningkatan IHP adalah didorong oleh peningkatan harga dan kos Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (11.6 peratus); Makanan dan Minuman Ringan (2.8 peratus) dan Pakaian serta Kasut (11.5 peratus).

 

Kenaikan bagi harga Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan adalah disebabkan oleh peningkatan harga insurans, terutamanya insurans kereta, berbanding dengan tahun sebelumnya.

 

Manakala berikutan dengan import yang terhad disebabkan oleh kekurangan bekalan dan penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara ini dan negara-negara jiran, ini telah menyebabkan kenaikan kepada beberapa harga Makanan dan Minuman Ringan terutama sekali bagi harga sayur-sayuran; minuman ringan dan daging yang diimport.

 

Peningkatan harga Pakaian dan Kasut pula adalah disebabkan oleh kenaikan harga pakaian dan bahan untuk pakaian serta kasut.

 

Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi bulan Jun 2020 meningkat sebanyak 0.03 peratus berbanding dengan bulan Mei 2020. Indeks Makanan dan Minuman Ringan menurun sebanyak 0.6 peratus. Manakala Indeks Bukan Makanan meningkat sebanyak 0.2 peratus.

 

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

 

Laporan penuh IHP bagi bulan Jun 2020 boleh didapati melalui Laman Sesawang JPES : 'www.deps.gov.bn'.




Close