Manage PermissionsManage Permissions

Umur bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Azmah Haji Ahad

 

 




MUARA, Isnin, 10 Ogos. - Umur bukan penghalang untuk kita menuntut ilmu. Dalam agama Islam, kita dituntut untuk menuntut ilmu. Ilmu dibahagikan kepada dua, iaitu Fardu 'Ain dan Fardu Kifayah.

 

Ilmu Fardu 'Ain dikhaskan kepada ilmu tentang agama Islam, manakala Fardu Kifayah ialah ilmu umum, seperti ilmu Sains, Fizik, Matematik, Teknologi, Kimia, Kaji Bumi, Jurutera dan sebagainya.

 

Seperti sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ''Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga liang lahad''.

 

Kerana ilmu inilah yang akan membawa kita ke jalan yang terang lagi bercahaya. Dengan adanya cahaya ilmu ini menunjukkan seseorang itu akan menuju jalan yang benar.

 

Ketua Guru Ugama, Dayang Hajah Nurul Marlini binti Haji Rosli dalam temu bual bersama Pelita Brunei di Kampus Sultan Saiful Rizal (IBTE) mengongsikan pengalaman dan cabaran menuntut ilmu semasa mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda (Tahun 1999) dan Ijazah Sarjana (Tahun 2018).

 

Meskipun usia sudah mencecah 41 tahun, beliau tetap tekun untuk terus menuntut ilmu dan pada masa yang sama, bekerja sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam subjek Pengetahuan Ugama Islam (IRK) di IBTE.

 

Menurutnya, pengalaman belajar dalam usia sebegini memang sangat mencabar kerana memerlukan tenaga, selain komitmen yang banyak, terutama dalam memfokuskan kepada anak-anak.

 

Bahkan, saingan semasa belajar juga, jelasnya, dapat dirasakan lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan mahasiswa baharu yang lebih intelek dan berkemahiran dalam sesuatu bidang.

 

Justeru, beliau berazam untuk meningkatkan dan meneruskan lagi pengajian dalam Doktor Falsafah (Ph.D), seterusnya dapat menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta.

 

Dalam pada itu, ternyata, umur juga bukanlah jadi penghalang bagi Awang Haji Mohd. Firdaus bin Orang Kaya Kaya Haji Noordin untuk meraih kejayaan dan pengalaman yang sangat berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.

 

Beliau menambah, ilmu merupakan pelita dan penyuluh hidup. Daripada itu, kita perlu menimba ilmu kerana ilmu itu juga diwajibkan ke atas orang Islam lelaki ataupun perempuan.

 

Maka, dalam mengharungi dunia yang pesat berubah dan peranan teknologi canggih dalam kehidupan seharian, golongan muda, tegasnya, harus dipersiapkan untuk menghadapi perubahan berkenaan, khususnya dalam era revolusi industri keempat.

 

''Oleh itu, penekanan kepada pendidikan dan pembangunan sumber manusia mampu memainkan peranan penting dalam mempersiapkan pelajar-pelajar supaya mereka lebih fleksibel serta mampu berubah untuk menerima perubahan yang datang daripada Revolusi Industri 4.0,'' ujarnya lagi.

 

Revolusi Industri 4.0 ini, terangnya, akan membawa bersama pelbagai cabaran dan peluang terbaik bagi negara-negara di seluruh dunia, termasuk Negara Brunei Darussalam, di mana ia memerlukan satu anjakan paradigma baharu untuk merubah pemikiran yang sedia ada kepada pemikiran holistik, kreatif, inovatif dan mampan.

 

Hal ini pula, jelasnya lagi, supaya penduduk negara ini dapat meneruskan pembangunan negara dari segi fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.




Close