Manage PermissionsManage Permissions

UNISSA ungguli Anugerah GIFA 2020



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

 




ISLAMABAD, Selasa, 15 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dan Negara Brunei Darussalam pada 14 September lalu telah melakar detik bersejarah apabila untuk kali kedua berturut-turut mengungguli Anugerah Global Islamic Finance Award 2020 (GIFA 2020) bagi Kategori GIFA Market Leadership Award 2020 (Education in Islamic Banking and Finance), mendahului tiga calon institusi lain di peringkat global.

 

GIFA adalah salah satu anugerah paling berprestij dan dihormati dalam dunia perbankan dan kewangan Islam global. GIFA dianugerahkan kepada kerajaan, institusi, dan individu yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam menyumbang kepada kemapanan bidang perbankan dan kewangan Islam sebagai sebuah sistem yang berdaya maju di arena global. Pada setiap tahun, Jawatankuasa Anugerah GIFA mengiktiraf institusi dan individu dari seluruh pelosok dunia atas sumbangan luar biasa mereka kepada pembangunan bidang tersebut.

 

Pencalonan FEKIm UNISSA dalam GIFA dari Cambridge International Finance Advisor (IFA) United Kingdom (UK), sebagai calon penerima Anugerah GIFA 2019 dan GIFA 2020 merupakan satu pengiktirafan besar industri global terhadap pencapaian fakulti tersebut dalam pembangunan dan pengembangan pengajian bidang perbankan dan kewangan Islam di persada global.

 

Kali pertama FEKIm UNISSA menerima Anugerah GIFA dalam kategori yang sama ialah pada 16 September 2019, bertempat di Cape Town, Afrika Selatan yang dihadiri sendiri oleh Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Dekan FEKIm UNISSA, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

 

Pada tahun ini, penyampaian anugerah tersebut telah dilangsungkan pada 14 September 2020, dalam acara 10th GIFA Awards, bertempat di Marriott Hotel, Islamabad, Republik Islam Pakistan. Hadir selaku Tetamu Kehormat dalam acara tersebut ialah Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Dr. Arif ur-Rahman Alvi.

 

Memandangkan situasi global yang masih berhadapan dengan ancaman penularan pandemik COVID-19, UNISSA mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis penganugerahan tersebut secara fizikal. Walau bagaimanapun, majlis penyampaian anugerah telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan laman sesawang GIFA.

 

Dekan FEKIm UNISSA, Dr. Abdul Nasir menerusi Mesej Video GIFA 2020 yang ditayangkan secara virtual berharap dengan pencapaian cemerlang anugerah berprestij GIFA sebanyak dua kali berturut-turut ini akan memberikan dorongan dan semangat yang kuat kepada seluruh tenaga akademik FEKIm UNISSA untuk terus bersikap dinamik dan inovatif serta mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran menerusi platform pendidikan sekali gus dalam sama-sama berusaha mengembangkan dan memperkasakan peranan perbankan serta kewangan Islam dalam sistem kewangan global.




Close