Manage PermissionsManage Permissions

Jangan terlalu banyak bergantung pada tenaga kerja asing



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah menekankan, agar apa jua perancangan di bawah projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) yang akan datang, khasnya RKN Ke-12 tidak hanya akan memberikan tumpuan kepada penyediaan atau pembinaan infrastruktur sahaja, bahkan lebih perlu ialah menjurus kepada projek-projek yang boleh menyumbang kepada efisiensi dan produktiviti.

 

Dalam melaksanakan satu-satu rancangan, tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, beberapa faktor perlu diambil kira, seperti kedayatahanan projek, sumbangannya kepada perkembangan industri dan ekonomi juga kemampuannya merangsang kedayatahanan fiskal negara.

 

Dalam titah baginda, semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi RKN Kali Pertama bagi Tahun 2020, yang berlangsung di Istana Nurul Iman juga menyatakan, perancangan itu, termasuklah memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dengan menekankan 'in-country value' juga peningkatan kemahiran.

 

Sebagai bangsa merdeka dan progresif, kita, titah baginda lagi, tidaklah perlu terlalu banyak bergantung kepada tenaga kerja asing.

 

Cara ini, bukan suatu solusi dalam mencapai Sustainable Development Goal, malah anak-anak tempatan, titah baginda, perlu untuk diberikan pendedahan kepada semua 'environment', termasuk pembinaan dan sebagainya.

 

Menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, kaedah guna sama 'share facilites' juga jangan diabaikan.

 

Baginda menggesa setiap kementerian perlu memastikan bahawa mana-mana 'facility' yang ada eloklah diguna sama.

 

''Sangat mustahak diingat bahawa pembangunan bukanlah bererti banyaknya bangunan yang dimiliki oleh setiap kementerian, tetapi lebih penting ialah kesepaduan untuk mencapai objektif pendekatan Whole of Government Approach. Perancangan juga biarlah untuk jangka panjang bagi mengelakkan pembaziran dan duplikasi dalam penggunaan sumber-sumber kerajaan,'' titah baginda.

 

Dalam pada itu, Kebawah DYMM dalam titahnya turut mengingatkan bahawa reka bentuk dan tawaran bagi projek-projek RKN Ke-11 yang masih lagi dalam proses perancangan hendaklah diteliti semula bagi memastikan projek-projek berkenaan itu masih relevan untuk dilaksanakan.



Close