Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi RKN



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Kali Pertama bagi Tahun 2020.

 

Berangkat sama ke mesyuarat tersebut, paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

 

Keberangkatan baginda di Istana Nurul Iman dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi RKN Kali Pertama.

 

Mesyuarat RKN Kali Pertama itu didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa dibacakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.

 

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat, antara lain menyembahkan menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, di mana mencerminkan pemedulian baginda ke arah pelaksanaan projek-projek di bawah RKN.

 

Tambahnya lagi, usaha-usaha yang dilaksanakan dalam menjayakan RKN dan menyumbang meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara juga menjadi salah satu platform untuk mencapai sasaran Wawasan Brunei 2035.

 

Pada mesyuarat tersebut, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi RKN ini, antara lain membincangkan mengenai projek-projek dan perancangan-perancangan kemajuan negara.

 

Ini, termasuklah dalam terma rujukan mesyuarat RKN, iaitu untuk memberikan nasihat juga arah tuju bagi penyediaan RKN, termasuk tema dan strategik pembangunan RKN juga bagi memastikan RKN adalah berdasarkan unjuran pendapatan kerajaan dengan mengambil kira dasar berhemah.

 



Close