Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Tiada kes jangkitan



​Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) terus mencatatkan tiada kes baharu COVID-19 setakat jam 12.00 tengah hari ini, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini masih kekal sebanyak 145 kes.

 

Pada hari ini juga, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa tiada kes aktif dilaporkan, di mana menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh adalah seramai 142 orang.

 

Dalam Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan turut memaklumkan mengenai dengan Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD bahawa seramai 455 orang masih menjalani pengasingan diri mandatori, sementara seramai 5,858 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

 

Seterusnya, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 66 sampel Ujian Virus SARS-CoV-2 dilaksanakan dan ini membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 ialah sebanyak 56,338 ujian.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (swab test), terutama sekali bagi mereka yang ingin membuat perjalanan ke luar negara, hendaklah menjalankan ujian saringan SARS-CoV-2 sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

 

Hasil daripada ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

 

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ujian SARS-CoV-2 'swab' bagi perjalanan ke luar negara, bolehlah mendapatkan ujian tersebut di lokasi dan waktu seperti berikut, iaitu bagi Pusat Kesihatan Berakas, waktu operasi, Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari kelepasan awam), mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Manakala bagi Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam, waktu beroperasi bermula dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang.

 

Di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, waktu operasi dibuka setiap hari, mulai jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam. Kompleks akan ditutup pada hari kelepasan awam.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.



Close