Manage PermissionsManage Permissions

Kurangkan risiko Demensia




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Demensia merupakan kumpulan penyakit berkaitan otak yang boleh menjejaskan ingatan, pemikiran, tingkah laku dan perasaan. Bagi pesakit yang menghidapi penyakit Demensia, 90 peratus daripadanya adalah Demensia jenis Alzheimer dan vaskular Demensia.

 

Tanda-tanda dan simptom Demensia termasuk hilang ingatan, kesukaran untuk bertutur dengan betul atau memahami pertuturan orang lain, kesukaran untuk melakukan kerja harian dan perubahan terhadap keperibadian dan perasaan. Setakat ini, tidak ada ubat khusus untuk penyakit Demensia akan tetapi rawatan, nasihat dan sokongan ada disediakan kepada pesakit dan ahli keluarga atau penjaga.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar sempena Sambutan Bulan Alzheimer Sedunia. Negara Brunei Darussalam jelasnya, menyambut Bulan Alzheimer Sedunia pada bulan September dan Hari Alzheimer Sedunia disambut pada 21 September.

 

Tema pada tahun ini adalah 'Lakastah bercakap pasal Demensia' bagi menggalakkan orang ramai untuk memahami kepentingan mengenali demensia sebagai salah satu penyakit dan mengatasi stigma berkaitan Demensia. Menurut Alzheimer's Disease International dianggarkan setiap tiga saat seseorang di dunia akan menghidap penyakit Demensia.

 

Jumlah ini akan mencecah sehingga 152 juta orang menjelang tahun 2050. Selain itu, dua daripada tiga orang di seluruh dunia percaya bahawa terdapat sedikit atau tidak ada pemahaman tentang Demensia di negara mereka. Ini menjadikan Demensia diiktiraf secara meluas sebagai salah satu krisis kesihatan yang paling ketara pada Abad Ke-21 ini.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan bahawa di Negara Brunei Darussalam, dianggarkan sejumlah 1,200 orang menghidap penyakit Alzheimer dan seramai 2,000 orang menghidap Demensia di mana kebanyakannya belum dikenal pasti. Menurut kajian yang dijalankan oleh Unit Geriatrik dan Paliatif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada tahun 2015, seramai 36.8 peratus pesakit geriatrik mengalami Demensia dan tambahan seramai 20 peratus pesakit geriatrik mungkin mengalami gangguan kognitif yang mana memerlukan penilaian lebih lanjut sebelum diberikan diagnosis. Peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit yang tinggi di NBD juga menyebabkan peningkatan kadar pesakit vaskular Demensia.

 

Demensia boleh menyebabkan fungsi otak menjadi semakin teruk dan mengakibatkan kesukaran untuk melakukan aktiviti harian. Demensia pada kebiasaannya dikaitkan dengan penyakit warga emas, akan tetapi Demensia merupakan sejenis penyakit yang bukan biasa bagi warga emas.

 

Demensia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira usia. Simptom-simptom bagi penyakit Demensia adalah seperti kehilangan ingatan, masalah pertuturan, kesukaran apabila meletakkan barangan, fikiran bercelaru, perubahan perasaan dan keperibadian atau menarik diri daripada aktiviti sosial.

 

Seseorang yang mempunyai tanda dan simptom Demensia perlu diperiksa oleh profesional kesihatan untuk rawatan dan pengurusan penyakit demensia. Risiko menghidap penyakit Demensia meningkat jika seseorang itu tidak mengamalkan cara hidup sihat sejak di awal usia. Akan tetapi, risiko Demensia boleh dikurangkan melalui amalan pemakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal secara tetap sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali seminggu dan berhenti merokok. Bagi warga emas, rangsangan mental dan interaksi sosial juga perlu dikekalkan.

 

Kesan penyakit Demensia bukan hanya kepada pesakit, malah kepada keluarga atau penjaga, serta masyarakat secara keseluruhan. Keluarga dan masyarakat memainkan peranan yang penting kerana pesakit Demensia akan sentiasa memerlukan bantuan dalam melakukan aktiviti harian mereka dan ia merupakan cabaran yang amat besar kepada kesemua pihak.

 

Tambahan lagi, tahun ini merupakan tahun yang amat mencabar bagi semua, khususnya pesakit Demensia dengan berlakunya penularan wabak COVID-19. Penjarakan sosial yang disarankan adalah perlu untuk mencegah penularan virus SARS-CoV-2.

 

Akan tetapi, ia menambah kesulitan bagi yang mengalami kesunyian, kemurungan serta pengasingan sosial dan memburukkan lagi simptom Demensia. Oleh itu, keluarga dan masyarakat perlu bersabar dan lebih prihatin semasa tempoh 'norma baharu' ini.

 

"Selaras dengan tema Sambutan Bulan Alzheimer Sedunia 2020 tahun ini, saya ingin mengutarakan beberapa mesej utama dan menyeru semua termasuk ahli keluarga, komuniti dan masyarakat untuk sentiasa berbual mengenai Demensia. Berbincang antara satu sama lain mengenai cara mengekalkan kesihatan yang baik dan mengurangkan risiko Demensia adalah amat penting," jelas Yang Berhormat.

 

Berbual mengenai simptom Demensia agar kita mengetahui tanda-tanda yang perlu diperhatikan dan boleh mendapatkan rawatan lebih awal. Sentiasa peka sesama sendiri dalam memastikan keadaan masing-masing.

 

Seterusnya, atasi stigma berkenaan Demensia. Kita perlu mengatasi stigma dan ketakutan terhadap Demensia. Kurang pengetahuan mengenai Demensia menyebabkan anggapan yang tidak tepat mengenai kesan Demensia kepada pesakit dan ahli keluarga serta tanggapan negatif berkaitan tingkah laku pesakit Demensia.

 

Oleh itu, berbicara mengenai Demensia dapat membawa ke arah pemahaman dan perancangan yang lebih baik, memperbaiki sokongan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit Demensia dan keluarga atau penjaga.

 

Yang Berhormat turut menambah terhadap kesediaan semasa pandemik. Penularan wabak COVID-19 telah mengenal pasti kekurangan dalam penyediaan perkhidmatan dan sokongan harian terhadap pesakit Demensia. Ia adalah amat penting bagi pesakit Demensia untuk tidak dikecualikan secara sosial semasa penularan wabak ini.

 

Oleh itu, keperluan bagi memahami serta mendapatkan maklumat yang tepat, nasihat dan sokongan mengenai Demensia adalah penting di waktu sukar ini.

 

Kementerian Kesihatan akan sentiasa menyediakan sistem kesihatan yang mudah diakses dan saksama serta berkualiti tinggi kepada seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam dalam memastikan semua orang akan memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan.

 

Kementerian Kesihatan akan memastikan program kesedaran dan intervensi berkaitan Demensia akan terus dilaksanakan di pelbagai tempat seperti di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dengan kerjasama Demensia Brunei, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dedikasi terhadap Demensia.

 

"Kementerian Kesihatan akan sentiasa memastikan rakyat dan penduduk NBD di pelbagai peringkat usia akan mendapat akses kepada kesihatan yang baik selaras dengan Wawasan Brunei 2035, iaitu dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi. Kita perlu berganding bahu bersama-sama dalam menangani stigma berkaitan Demensia. Tidak pernah lambat untuk bertindak dan bersama kita boleh membuat perubahan," jelas Yang Berhormat sebelum mengakhiri Perutusan Menteri Kesihatan sempena Sambutan Bulan Alzheimer Sedunia.



Close