Manage PermissionsManage Permissions

Tetap relevan mengikut aliran semasa



‚ÄčOleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berkata, secara jangka pendek dan sederhana, cabaran terbesar bagi Perbadanan TAIB adalah dalam menarik minat pelanggan baharu, terutamanya daripada kalangan generasi muda, di samping mengekalkan pelanggan yang ada pada masa ini.

 

Justeru, kerananya kita tidaklah dapat bersikap Business as Usual, jelas Yang Berhormat, kita perlu berfikiran terbuka dan perlu membuat serta menerima perubahan untuk memastikan kita kekal relevan mengikut aliran semasa kerana kita juga menyedari persekitaran dunia perbankan dan kewangan juga cepat berubah dengan wujudnya institusi-institusi kewangan atau perbankan yang baharu.

 

Terdahulu, menurut Yang Berhormat, Perbadanan TAIB telah melewati perjalanan yang agak jauh dengan berbagai cabaran-cabaran dilalui dan tidak dapat juga dinafikan beberapa kejayaan berjaya dicapai.

 

"Sekarang melimpasi tempoh 29 tahun, kita semestinya bermuhasabah dan sama-sama bertanya, adakah kita telah berjaya sepenuhnya di dalam menunaikan amanah dan niat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, raja yang berdaulat, bijaksana dan berpandangan jauh yang kita kasihi? Adakah perkembangan Perbadanan TAIB berjaya mengikut keperluan dan aspirasi negara dan rakyatnya?" ujar Yang Berhormat pada Majlis Makan Malam Tahunan bagi Warga TAIB sempena Ulang Tahun Penubuhan Ke-29 yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D'Seni, di sini.

 

Yang Berhormat menjelaskan, di ambang Perbadanan TAIB akan menggenapkan usia penuh tiga abad ini dalam masa satu tahun lagi, ini merupakan soalan-soalan yang perlu kita fikirkan dengan amat mendalam supaya kita betul-betul sedar terhadap realiti mengenai hala tuju masa depan Perbadanan TAIB dan cabaran-cabaran utama dalam memastikan perbadanan ini akan tetap relevan kepada aspirasi pelanggannya secara jangka panjang sejajar dengan usianya yang bertambah matang ini.

 

Alhamdulillah, tambah Yang Berhormat, mulai tahun ini, Perbadanan TAIB telah melaksanakan beberapa projek penaiktarafan yang kritikal, terutamanya dari segi prasarana teknologi, pengemaskinian sistem pentadbiran dalaman dan pengurusan tenaga manusia.

 

"Proses penaiktarafan secara meluas ini adalah perlu dilaksanakan dan dikira tepat pada masanya semata-mata untuk memastikan bahawa Perbadanan TAIB akan dapat bertahan operasi dan mampu bersaing dan tidak ketinggalan di pasaran perkhidmatan kewangan secara jangka panjang," ujar Yang Berhormat lagi.

 

Yang Berhormat seterusnya berharap supaya semua lapisan warga Perbadanan TAIB akan sama-sama dengan hati dan fikiran terbuka bertawakal meletakkan niat dan tekad untuk berusaha secara satu pasukan yang bersepadu dan bersemangat jitu menjayakan perubahan-perubahan positif ini dan seterusnya menyumbang buah fikiran yang bernas dan tindakan-tindakan membina bagi sama-sama membaiki mana-mana proses kerja yang mungkin sudah dikira tidak serasi dengan kehendak masa kini, terutamanya dalam menjaga kepentingan pelanggan dan memudah cara urusan mereka dengan pihak Perbadanan TAIB.

 


Close