Manage PermissionsManage Permissions

17 bengkel kenderaan didapati tidak berdaftar



​Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pengangkutan Darat

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Berikutan sidang media pada 5 Oktober lalu mengenai 'Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berikutan beberapa kejadian Kenderaan-Kenderaan Terbakar di Negara Brunei Darussalam', Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berserta agensi-agensi berkenaan, iaitu Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Authoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan mengadakan beberapa siri operasi pemeriksaan terhadap bengkel-bengkel kenderaan yang beroperasi di negara ini, khususnya bengkel-bengkel yang tidak berdaftar dengan JPD.

 

Pemeriksaan tersebut antara lain bertujuan untuk mengenal pasti mana-mana bengkel yang menjalankan operasi dengan tidak berdaftar dengan JPD dan mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi berkenaan.

 

Setakat ini, JPD dan agensi-agensi berkenaan mengendalikan empat sesi operasi pemeriksaan, iaitu pada 28 September 2020, 30 September 2020, 6 Oktober 2020 dan 8 Oktober 2020.

 

Sebanyak 17 buah bengkel kenderaan yang tidak berdaftar dengan JPD di kawasan Daerah Brunei dan Muara telah pun diperiksa dan antara hasilnya adalah seperti bengkel-bengkel disahkan tidak berdaftar dengan JPD dan tidak melalui proses pengiktirafan bengkel.

 

Ada juga bengkel-bengkel didapati tidak layak untuk diberi pengiktirafan bengkel, sama ada bagi Kelas A, B atau C mengikut tahap perkhidmatan yang diberikan dan ada bengkel-bengkel yang tidak menunjukkan sebarang sijil yang sah.

 

Terdapat juga kenderaan-kenderaan terbiar di persekitaran bengkel-bengkel. Selain itu, ada bengkel-bengkel mengendalikan kerja-kerja ubah-suai atau baik pulih enjin atau badan kenderaan yang tidak diketahui tahap kepakarannya.

 

Terdapat juga bengkel-bengkel tidak mempunyai piawaian atau pengiktirafan dari segi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar; keadaan premis dan bangunan bengkel berada dalam keadaan yang tidak bersih dan teratur dan pembuangan minyak atau peralatan-peralatan ganti yang terpakai secara tidak teratur.

 

Begitu juga, keadaan bangunan yang mungkin memerlukan pemeriksaan agensi-agensi berkenaan, kerja-kerja pendawaian dan peralatan elektrikal yang dikendalikan oleh beberapa bengkel kenderaan yang tidak diketahui tahap kepakarannya.

 

Terdapat juga pengambilan tenaga kerja yang tidak jelas dari segi kepakaran, termasuk peratus pengambilan pekerja asing yang melebihi pekerja tempatan serta penggunaan peralatan-peralatan yang tidak diperiksa dari segi tahap keselamatan dan kesesuaiannya.

 

Juga didapati, ada yang tidak mengamalkan amalan pemakaian alat pelindung diri (PPE) bersesuaian dengan aktiviti kerja; tidak mempunyai tempat penyimpanan kimia (bahan berbahaya) dan alat / perkakas yang bersesuaian; keadaan alat amaran seperti 'break glass' / 'alarm' tidak berfungsi serta terhalang dan alat-alat pemadam api dalam keadaan mansuh.

 

Peralatan-peralatan berkenaan yang tidak pasti dikalibrasi atau mengikut peraturan Unit Sukatan dan Timbangan; tempat-tempat penyimpanan (storage area) tidak diperbuat daripada bahan tahan api dan ada juga pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran, seperti tambahan ofis / tempat tinggal di tingkat mezanin atau tingkat pertama, termasuk pembuatan infrastruktur bagi tempat tinggal adalah diperbuat daripada bahan yang mudah terbakar, seperti 'plywood'.

 

Juga didapati, kebersihan dalam dan luar bengkel kurang memuaskan (housekeeping) dan tatacara menyimpan tong minyak terpakai yang kurang betul (containment bund dan sheltered).

 

Sehubungan itu, pihak JPD dan agensi-agensi berkenaan masih menjalankan siasatan dan penganalisaan hasil maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan yang dijalankan setakat ini.

 

Berdasarkan penilaian awal mengikut skim pengiktirafan bengkel JPD, daripada sejumlah 17 bengkel yang telah diperiksa setakat ini, tiada bengkel yang memenuhi kriteria penilaian Bengkel Kelas A, dua bengkel memenuhi kriteria penilaian Bengkel Kelas B dan selebihnya, iaitu 13 buah boleh dipertimbangkan untuk pengiktirafan Bengkel Kelas C. Penilaian terperinci perlu dibuat untuk memastikan dapatan ini.

 

Tindakan awal telah dibuat, di mana sebanyak tujuh denda kompaun dikeluarkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) atas kesalahan dari aspek kebersihan bangunan dan sekitar premis iaitu Syarikat Perniagaan 88 Autoworks dikenakan denda kompaun sebanyak BND200, manakala enam premis perniagaan masing-masing didenda kompaun sebanyak BND500, iaitu Sing Hiap Hin Motor Company, Vijaya Jaya Sendirian Berhad, Syarikat Mohd Nabil Enterprise, Syarikat Goodyek Sendirian Berhad, Vaithi Automobile Services Sdn. Bhd. dan Lap Sing Auto Servicing.

 

Selain itu, teguran dan nasihat bertulis juga telah dikeluarkan oleh agensi-agensi berkenaan. Pemilik-pemilik bengkel turut diberikan tempoh bagi bengkel-bengkel berkenaan untuk membuat tindakan penambahbaikan / 'remedial action pelan' dalam satu jangka masa yang tertentu.

 

Pihak JPD dan agensi-agensi berkenaan akan menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan tindakan-tindakan diambil oleh pemilik-pemilik bengkel berkenaan.

 

Di kesempatan ini, JPD ingin menasihatkan semua pemilik bengkel kenderaan yang belum mendaftarkan bengkel-bengkel mereka dengan JPD untuk berbuat sedemikian dengan seberapa segera.

 

Melalui Skim Pengiktirafan Bengkel, JPD akan menilai dan memberikan pengiktirafan berdasarkan tahap keupayaan dan juga jenis-jenis perkhidmatan yang diberikan, di mana melaluinya akan dapat memastikan bengkel-bengkel memberikan perkhidmatan dengan teratur demi menjamin keselamatan orang ramai.

 

Pada peringkat ini, JPD ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dalam mendapatkan perkhidmatan untuk memelihara, membaik pulih kenderaan dengan menghantar kenderaan mereka sebaik-baiknya ke bengkel-bengkel kenderaan yang diiktiraf oleh JPD.

 

Senarai bengkel-bengkel yang diiktiraf JPD boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang JPD, 'www.jpd.gov.bn.'

 

Senarai tersebut terbahagi kepada bengkel-bengkel Kelas A, B dan C, di mana Kelas A: Pembaikan dan Penyenggaraan Utama, Kerja Badan Kenderaan dan Servis Penyenggaraan; Kelas B: Kerja Badan Kenderaan dan Servis; dan Penyenggaraan dan Kelas C: Servis dan Penyenggaraan.

 

Pemilik-pemilik bengkel juga bertanggungjawab untuk sentiasa bekerjasama dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan pelanggan.

 

JPD dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan yang lain akan berterusan mengadakan lawatan-lawatan ke bengkel-bengkel kenderaan di negara ini dan akan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik-pemilik bengkel kenderaan yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang berjalan pada masa ini.

 

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD menerusi talian +673 2451979/80/87 sambungan 111 pada waktu pejabat atau e-mel 'info_ltd@jpd.gov.bn' atau 'awvis@jpd.gov.bn'  atau hubungi Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +673 8333123 atau melayari Laman Sesawang Talian Darussalam 'www.123.gov.bn'.

 


Close