Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia



‚ÄčOleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Azmah Haji Ahad

 




JERUDONG, Ahad, 18 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia baginda bertempat di Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, Jerudong, di sini.

 

Majlis tersebut disembahkan oleh Kumpulan Isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu.

 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pengerusi I Kumpulan, Yang Dimuliakan Seri Laila Pengiring Diraja Datin Seri Utama Dayang Hajah Rosnah binti Abdullah dan Pengerusi II Kumpulan, Datin Paduka Dayang Hajah Jahrah binti Haji Mohamad dan Isteri-isteri Menteri Kabinet.

 

Turut berangkat ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah.

 

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Kesyukuran yang disempurnakan oleh isteri Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohammad.

 

Atur acara majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Datin Paduka Dayang Hajah Jahrah binti Haji Mohamad selaku Pengerusi Majlis yang mewakili Kumpulan Isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu yang menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat Puja Usia ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan memohon doa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan rahmat, hidayah dan inayah-Nya ke hadapan majlis baginda.

 

''Dikurniakan usia yang berkat dengan kesihatan yang berterusan, iman yang kukuh dan sempurna serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Sentiasa menikmati kehidupan yang bahagia dalam sebuah keluarga sakinah, mawaddah dan rahmat bersama Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, paduka-paduka anakanda, cucunda dan ahli kerabat Kebawah Duli Tuan Patik,'' sembah Datin Paduka Dayang Hajah Jahrah.

 

Seterusnya, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan memotong Kek Hari Puja Usia dan menerima pesambah daripada ahli-ahli kumpulan.

 

Majlis kemudian diikuti dengan Santap Minum Petang sambil diserikan dengan tayangan video 'Ristaan Majlis Ulang Tahun Hari Puja Usia 2019'.





KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Puja Usia baginda bertempat di Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, Jerudong. Turut berangkat ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; YAM Pengiran Bini Hajah Faizah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah.



SEMBAH alu-aluan oleh Datin Paduka Dayang Hajah Jahrah binti Haji Mohamad selaku Pengerusi Majlis yang mewakili Kumpulan isteri-isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu.



BACAAN Doa Selamat dan Kesyukuran disempurnakan oleh Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohammad, isteri Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.



MAJLIS tersebut disembahkan oleh Kumpulan Isteri-Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu.



ANTARA yang hadir di majlis tersebut.



ANTARA yang hadir di majlis tersebut.




Close