Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 uji kerelevanan APEC



​Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa pandemik COVID-19 menguji kerelevanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sebagai platform kerjasama ekonomi yang selama ini memberi manfaat kepada rakyat APEC.

 

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam, titah baginda, mengalu-alukan Visi Putrajaya APEC 2040 yang memberikan dorongan ke arah mencapai misi baharu pasca COVID-19.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut dalam titah semasa berkenan menyertai para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi Leaders' Retreat Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-27 yang bertemakan 'Optimising Human Potential Towards a Resilient Future of Shared Prosperity : Pivot, Prioritise, Progress' secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, malam tadi.

 

Baginda dengan itu mengetengahkan pandangan-pandangan baginda mengenainya.

 

Pertama, APEC perlu mengembalikan keyakinan pasaran ke arah memajukan pemulihan awal dan mengukuhkan semula perdagangan dan pelaburan. APEC perlu menggalakkan iklim 'pro-business' melalui reformasi struktur, mengukuhkan pemudahcaraan perdagangan dan integrasi ekonomi serta memajukan usaha Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik (FTAAP).

 

Kedua, pemerkasaan rakyat APEC khususnya golongan belia dan wanita serta perniagaan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSMEs), hendaklah diutamakan bagi memastikan tidak ada yang tertinggal. Ini termasuk meningkatkan akses yang saksama kepada peluang-peluang ekonomi dan sumber-sumber bagi membolehkan mereka memanfaatkan teknologi baharu dan prospek kemajuan.

 

Akhir sekali, baginda juga turut mengetengahkan bahawa Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan usaha-usaha ke arah memperkukuhkan agenda kerjasama ekonomi dan teknikal APEC yang mendorong kepada pembangunan kapasiti, perkongsian amalan terbaik terutama di bidang digitalisasi dan pembangunan sumber tenaga manusia.

 

Selanjutnya, baginda menyeru agar APEC memanfaatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa yang lain. Negara Brunei Darussalam, sebagai ekonomi ahli APEC dan Pengerusi ASEAN tahun 2021, berharap untuk dapat bekerja rapat bersama semua ekonomi dalam meneruskan agenda pemulihan semula ekonomi serantau.

 

Baginda juga melahirkan kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri New Zealand, The Right Honourable Jacinda Ardern selaku Pengerusi APEC tahun 2021 dan seterusnya bertitah bahawa APEC mampu bersatu menghadapi cabaran dan merebut peluang ke arah mencapai visi masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman damai menjelang 2040.

 

Terdahulu sebelum itu, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin selaku Pengerusi APEC 2020 semasa menyampaikan Ucapan Pembukaan, antara lainnya, mengambil maklum bahawa APEC telah menyediakan rangka kerja bagi ekonomi-ekonomi ahli untuk melaksanakan idea-idea ekonomi berdasarkan kesepakatan bersama bagi meningkatkan kemakmuran penduduk di rantau ini.

 

Dalam kerjasama ekonomi-ekonomi ahli APEC untuk mengurangkan impak-impak COVID-19, kerelevanan APEC semakin penting di mana APEC mendorong penyelesaian isu serantau demi memastikan pengedaran vaksin dalam harga berpatutan, mudah diperoleh dan secara saksama.

 

Dalam mesyuarat ini, para pemimpin mendengarkan laporan mengenai Global Economic Outlook daripada Pengarah Urusan Dana Monetari Antarabangsa (IMF), Puan Kristalina Georgieva yang menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi global telah menurun sebanyak 4.4 peratus berbanding tahun lepas dan seterusnya menggesa ekonomi-ekonomi ahli ke arah pemulihan ekonomi yang mantap melalui pelaburan dalam penduduk, kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial.

 

IMF juga mencadangkan pembangunan dan penyelarasan infrastruktur yang kukuh serta menggerakkan dan memodenkan perdagangan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di tahap pra-COVID-19.

 

Para pemimpin menyentuh mengenai pasca COVID-19, Visi APEC Putrajaya 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020.

 

Visi APEC Putrajaya 2040 memupuk penyertaan rakyat dan ke arah sistem pasaran yang lebih kukuh dan multilateral perdagangan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang terbuka dan saksama.

 

Sementara itu, Deklarasi Kuala Lumpur 2020 akan memajukan pertumbuhan mampan dan inklusif bagi membina rantau yang lebih berdaya tahan dan bermanfaat kepada rakyat.

 

Para pemimpin juga mengetengahkan kepentingan pertumbuhan berasaskan inovasi dan peningkatan kesalinghubungan untuk memudahkan aliran barangan serta manusia.

 

Pemulihan serantau bergantung kepada akses vaksin COVID-19 yang saksama dan selamat serta reformasi struktur dalam membina ekosistem perdagangan tempatan.

 

APEC juga perlu mengutamakan agenda perubahan iklim serta pencapaian keseimbangan antara ekonomi-ekonomi digital dan hijau.

 

Sebelum Mesyuarat APEC ini berakhir, Visi APEC Putrajaya 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 diluluskan. Perdana Menteri Malaysia seterusnya menyerahkan kepengerusian APEC kepada Perdana Menteri New Zealand, The Right Honourable Jacinda Ardern. 




Close