Manage PermissionsManage Permissions

Kongsi usaha bersepadu realisasikan hasil pendidikan digital



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

 




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Kali Ke-11 secara maya, dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Republik Filipina dalam kapasitinya selaku Pengerusi Mesyuarat pada tahun ini.

 

Mesyuarat membawa tema 'Transforming Education The ASEAN Way : Forging Partnerships in the Age of Global Disruptions'.

 

Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Director General of the Technical Education and Skills Development Aiuthority of the Philippines, Tuan Yang Terutama Setiausaha Isidiro Lapena.

 

Dalam ucapan alu-aluan TYT Setiausaha Isidiro Lapena mengakui kesan mendalam COVID-19 terhadap sistem pendidikan Negara-negara Ahli ASEAN.

 

TYT juga berharap agar ASEAN akan dapat menyahut cabaran sebagai kesempatan untuk kemajuan, terutamanya dalam melengkapkan generasi akan datang dengan kemahiran dan penyesuaian juga kedayatahanan.

 

TYT seterusnya menyeru bagi kerjasama yang lebih mantap di antara negara-negara anggota ASEAN, rakan-rakan kongsi ASEAN dan pihak berkepentingan dalam mengurangkan kesan krisis COVID-19 terhadap sektor pendidikan.

 

Mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun ini mempunyai objektif untuk menyemak semula komitmen di bawah sektor pendidikan ASEAN.

 

Semasa mesyuarat, Menteri-menteri Pendidikan dari kesemua Negara Ahli ASEAN juga berpeluang untuk mengongsikan mengenai dengan keutamaan serta hala tuju negara masing-masing dalam bidang pendidikan, terutamanya dalam menangani impak COVID-19.

 

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa mesyuarat mengongsikan usaha bersepadu Kementerian Pendidikan bersama pihak-pihak yang berkepentingan dalam merealisasikan hasil pendidikan digital.

 

Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menggariskan mengenai dengan fokus Kementerian Pendidikan dalam mengambil pendekatan Whole of Nation dalam memastikan akses yang saksama terhadap pembelajaran digital bagi penuntut-penuntut, terutamanya bagi golongan yang kurang bernasib baik.

 

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Brunei Darussalam.

 

Sebelum Mesyuarat Menteri berkenaan, satu Sesi Mesyuarat bagi Pegawai-pegawai Kanan diadakan pada Rabu, 18 November 2020 secara maya.

 

Hadir semasa sesi mesyuarat tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin.

 

Semasa sesi berkenaan, Pegawai-pegawai Kanan telah dimaklumkan mengenai dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendidikan ASEAN, pelan kerja ASEAN dan aktiviti-aktiviti di bawah sektor pendidikan ASEAN.

 

Mesyuarat turut mendengarkan perkongsian amalan-amalan baik juga pelan pemulihan Negara-negara Ahli ASEAN dalam bidang pendidikan sebagai respons terhadap impak daripada COVID-19.




Close