Manage PermissionsManage Permissions

Meraikan hak kanak-kanak



​Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

 





JERUDONG, Sabtu, 21 November. - Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara di seluruh dunia pada setiap 20 November meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia (Universal Children's Day - UCD).

 

Sambutan UCD pada tahun ini membawakan tema,'Reimagine A Better World', yang bermaksud kanak-kanak digalakkan untuk memberikan pandangan bagi memperbaiki situasi dunia yang berkaitan dengan mereka dari segi pelajaran dan kesihatan.

 

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengadakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Kali Ke-14 di The Colonnade, Jerudong Park Playground, di sini, pagi tadi.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan sambutan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Seramai 110 kanak-kanak yang terdiri dari Sekolah Ugama Arab Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Sekolah Arab Rimba, Sekolah Antarabangsa Brunei, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Rendah Chung Hwa, Sekolah Rendah Sengkurong, Sekolah Rendah Jerudong, Sekolah Menengah Sayyidina Hassan, Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Pusat Bahagia Brunei Muara dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam hadir bagi sama-sama meraikan acara sambutan tersebut.

 

Acara dirasmikan dengan gerak aksi pemecahan belon-belon oleh Yang Berhormat bersama kanak-kanak untuk mendedahkan ilustrasi lukisan kanak-kanak dari Pusat Bahagia dan Kompleks Rumah Kebajikan, di mana lukisan tersebut merupakan bayangan dunia yang lebih baik bagi mereka.

 

Belon-belon yang menutupi ilustrasi berkenaan adalah ibarat rintangan penghalang, dan pemecahan belon oleh Yang Berhormat bersama kanak-kanak melambangkan kerjasama yang diperlukan di antara kanak-kanak serta orang dewasa demi mencapai dunia yang lebih baik untuk kanak-kanak dan kita semua.

 

Antara tujuan sambutan tersebut ialah untuk mempromosikan dan meraikan hak kanak-kanak berdasarkan artikel-artikel yang terdapat di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Children - CRC); mempromosi dan menyokong perkembangan kanak-kanak secara inklusif dari segi fizikal, mental, kerohanian dan sosial serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama untuk sentiasa memastikan anak-anak dilindungi dari segala jenis keganasan dan pengabaian serta memelihara hak dan keperluan semasa kanak-kanak dan pada masa hadapan.  

 

Pelbagai aktiviti turut diadakan yang berbentuk permainan, interaktif dan juga pembarigaan khusus untuk kanak-kanak dan orang ramai.

 

Aktiviti yang disediakan adalah mengenai pembangunan sosial, fizikal, mental dan kerohanian, akademik, kesenian dan kebudayaan, di samping menyediakan pameran dari pelbagai perkhidmatan, demonstrasi dan pembarigaan mengenai perkhidmatan untuk kanak-kanak seperti Talian ANAK 121.

 

Sambutan yang diadakan pada hari ini adalah kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan dan Persatuan Badan-badan Bukan Kerajaan yang terdiri daripada Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan; Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan; Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS; Dewan Bahasa dan Pustaka, KKBS; Pusat Pembangunan Belia (PBB), KKBS; Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM); Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU); Sukarelawan Belia; Buzzing Bees; Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT); Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD); dan juga pihak Jerudong Park Playground.  

 

Juga hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Kanak-Kanak dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of Women and Children (ACWC), Dato Paduka Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan; serta pegawai-pegawai kerajaan dan Persatuan Badan-badan Bukan Kerajaan.

 


Close