Manage PermissionsManage Permissions

Pastikan kepimpinan berdedikasi, berpandangan jauh



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BERAKAS, Selasa, 12 Januari. - Kementerian Pendidikan memerlukan kepimpinan pegawai-pegawai yang berdedikasi, berfikiran bernas dan berpandangan jauh kerana pendidikan sifatnya bukan beku tetapi dinamik, dan jika kepimpinan itu jumud dan lebih menggemari pentadbiran bersantai, maka akan lemahlah pendidikan itu.

 

Ini kerana, Kementerian Pendidikan adalah salah sebuah kementerian terbesar dalam kerajaan, di mana visi dan misinya tertumpu kepada untuk memberikan pendidikan yang berkualiti yang mampu untuk merealisasikan aspirasi negara mencapai Wawasan 2035.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Pendidikan, pagi tadi.

 

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menggariskan kementerian berkenaan menangani dua bahagian aliran, iaitu Bahagian Pendidikan Teras dan Bahagian Pendidikan Tinggi dengan 14 buah jabatan dan unit adalah di bawah Pendidikan Teras, sementara 11 buah jabatan dan unit lagi di bawah Pendidikan Tinggi, dan kedua-dua bahagian ini masing-masing di bawah kendalian dan pengawasan Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap yang berkenaan.

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pendidikan Teras lebih menumpukan kepada pemantauan hala tuju peringkat rendah dan menengah, sementara Pendidikan Tinggi pula memantau hala tuju peringkat tinggi dan vokasional di dalam dan di luar kerajaan.

 

Sebab itu, tegas Kebawah DYMM, dalam menjalankan urus tadbir pendidikan, sangat diperlukan orang-orang yang mempunyai peribadi yang baik dan aktif menggalas semua jenis kerja yang menjadi tanggungjawabnya termasuk jika ada keperluan akan turun ke bawah menemui anak buahnya.

 

"Beta turut mengetahui perkara ini ada dilakukan oleh pihak atasan kementerian bagi melawat dan melihat-lihat keadaan sekolah-sekolah di seluruh negara. Lawatan juga termasuk mengadakan sesi dialog secara bersemuka dengan pemimpin-pemimpin sekolah.

 

"Cara ini memang bagus tetapi ada kalanya tidak disukai oleh setengah pegawai dan kakitangan kerana pihak atasan itu sering-sering menegur secara terbuka. Namun sebilangan yang lain pula mengambil positif teguran-teguran tersebut dengan menganggapnya sebagai mampu untuk membuka minda memperbaiki keadaan," titah baginda lagi.

 

Namun, titah baginda, banyak lawatan-lawatan seperti ini dilakukan secara tertutup tanpa liputan media massa, dan ianya dilihat sebagai bagus kerana dengan serbi-serbi ada liputan, mungkin sahaja tujuannya untuk menunjuk-nunjuk sekalipun yang diliput itu hanya perkara yang kurang atau tidak penting.

 

Dalam titah, baginda selamanya menghargai kepimpinan yang telus dan sikap pemedulian yang tinggi, namun baginda menegaskan sebarang isu yang berbangkit memang wajar dilihat dengan teliti untuk mendapatkan fakta yang betul bagi menyokong mana-mana jua keputusan yang akan diambil, justeru baginda menyarankan agar janganlah rimas jika ada ketua yang bersikap seperti itu.

 

Sebaliknya menurut titah baginda lagi, yang patut dielakkan ialah jika pegawai atasan itu hanya pandai untuk menekan pegawai-pegawai bawahannya bagi memenuhi kehendak atau kemahuannya atau dengan cara yang licik menanam pengaruh kepada pegawai-pegawai melalui amalan-amalan kronisme.

 

Kerana dengan etika yang buruk seperti ini titah baginda, macam-macam perkara yang boleh berlaku, seperti contohnya, jika ketua mewakilkan seseorang untuk menghadiri satu-satu mesyuarat atau sesi lawatan kerja tetapi pegawai yang diwakilkan itu gagal untuk memberikan maklum balas kepada ketua tentang apa-apa yang berbangkit dari mesyuarat atau lawatan yang dihadirinya.

 

Jika ini benar berlaku tegas baginda, bererti satu penggelapan telah dibuat yang menyalahi disiplin kerja berpasukan atau pemesongan membelakangi ketua.

 

"Jika cara ini menjadi tradisi, nescaya kepincangan-kepincangan yang tidak diingini akan melanda kementerian seperti jentera pentadbiran akan boleh sahaja terganggu atau tidak lancar dan seumpamanya," titah baginda lagi.

 

Selain itu, baginda juga bertitah membangkitkan persoalan mengenai perancangan-perancangan Kementerian Pendidikan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 di sebalik terdapat banyak isu-isu yang perlu dilihat secara bersama-sama untuk dikaji dan ditangani.

 

Terdahulu, baginda menjelaskan untuk merealisasikan aspirasi negara mencapai Wawasan Brunei 2035, Kementerian Pendidikan diperuntukkan dengan sejumlah besar peruntukan sebanyak lebih daripada 753 juta bagi tahun kewangan 2020-2021 dan ia meningkat dari peruntukan tahun-tahun kewangan yang sudah-sudah.

 

"Tiga objektif telah digariskan oleh kementerian ini seperti berikut : untuk mengubah pengurusan tenaga manusia ke arah budaya yang lebih menjurus kepada pencapaian 'performance driven culture'. Memberikan peluang yang sama rata bagi mendapatkan pendidikan berkualiti dan meningkatkan akauntabiliti bersama-sama dengan 'stakeholders' dalam perkembangan pengajaran dan pembelajaran," titah baginda lagi. 



Close