Manage PermissionsManage Permissions

Teliti semula sistem, hentikan kronisme



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BERAKAS, Selasa, 12 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengenai berlakunya kepincangan dalam Sistem Pendidikan Negara (SPN), di mana apakah sudah ada sebarang rancangan atau pemikiran untuk mengkaji semua dan memperbaikinya berdasarkan sistem ini merupakan duplikasi sistem pendidikan orang lain.

 

Di bawah sistem yang ada ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan, boleh dianggap ada berlaku kepincangan, yang mana penuntut-penuntut hanya perlu mencapai peratus kedatangan untuk naik kelas walaupun markah peperiksaan sangat rendah atau gagal.

 

"Semasa Ekspo Pengajian Tinggi sekitar awal bulan Februari 2020, ada didapati dari kalangan penuntut yang masih lemah atau tidak lancar membaca dan bahkan tidak faham mengenai mata pelajaran yang pernah diajarkan.

 

"Kepincangan lain jika berlaku, iaitu seperti memberikan pengecualian pada mana-mana pihak untuk tidak mengikut atau memakainya, sedang di dalam sekolah atau pusat pengajian itu ada orang Brunei anak tempatan belajar di dalamnya," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.

 

Malahan, Kebawah DYMM turut mengemukakan persoalan mengenai sejauh manakah sistem ini mampu untuk menerapkan sivik dan etika Melayu Islam Beraja (MIB) di kalangan penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah.

 

Soal baginda, adakah mata-mata pengajaran MIB masa ini sudah mencukupi untuk memberikan kesedaran sivik?

 

Tidak diragukan lagi, tegas baginda, perkara ini juga memerlukan kajian.

 

Bertitah mengenai perubahan tempoh pembayaran balik Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP), baginda menyarankan supaya peraturan tersebut diteliti dengan lebih mendalam.

 

"Terdapat laporan pada Julai 2018, mengenai perubahan tempoh pembayaran balik SBPP. Sebelum ini pembayaran balik skim hanya akan dibuat setelah menerima mula bekerja tetapi pada ketika ini, Kementerian Pendidikan dikatakan telah mengeluarkan arahan baharu untuk menerima skim dikehendaki membayar semula pinjaman bermula pada tarikh menerima sijil Ijazah dengan dikenakan juga 'interest' sebanyak 3 peratus. Beta mahu supaya peraturan ini juga diteliti lagi dengan lebih mendalam," tegas baginda lagi.

 

Baginda seterusnya bertitah turut menyentuh tentang ada juga didapati sikap pilih kasih atau unsur kronisme telah dan sedang berlaku dalam pemilihan penjawat bagi jawatan-jawatan kanan di dalam kementerian.

 

"Jika benar ini berlaku, seyogia ianya mesti dihentikan," tegas baginda lagi pada Keberangkatan Tidak Berjadual pagi tadi ke Kementerian Pendidikan, di sini.



Close