Manage PermissionsManage Permissions

Pastikan pencapaian pelajar, sekolah membanggakan



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BERAKAS, Selasa, 12 Januari. - Segala jenis projek, sama ada lama ataupun baru, semua itu mustahak untuk dikenal pasti adakah ia menepati nilai-nilai etika dan semangat Melayu Islam Beraja (MIB).

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Pendidikan, di sini, bertitah menekankan mengenai pencapaian sekolah-sekolah di bawah Projek International School Leaders (ISL) yang dikhabarkan belum dapat dibanggakan.

 

"Mengenai ISL baik juga ditinjau-tinjau kerana ada khabar sekolah-sekolah yang dipimpin oleh ISL, seperti Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Masin dan Sekolah Rendah Pusar Ulak belum dapat dibanggakan pencapaiannya, sekalipun pemimpin yang dianggap mempunyai kepakaran, sering-sering memberikan tekanan berlebihan kepada guru-guru tempatan dengan projek-projek baru," tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Isu sekolah, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, memang mencabar kerana itu, ia perlu diberikan penumpuan istimewa berikutan ketidakmampuan Unit Pendidikan Khas (UPK) untuk menangani keramaian murid justeru baginda menekankan agar isu tersebut diberi tindakan yang cepat.

 

"UPK dikatakan tidak mampu untuk menangani keramaian murid-murid yang saban tahun meningkat atau bertambah sehingga ada terdapat sebilangan murid dimasukkan atau ditumpangkan ke dalam kelas-kelas biasa sekolah-sekolah di Daerah Tutong.

 

"Ini kerana, pusat pembelajaran khas telah penuh sedang sekolah-sekolah rendah yang berkenaan itu juga tidak mempunyai guru-guru pendidikan khas yang sekali gus menyukarkan bagi guru-guru biasa untuk mengajar murid-murid berkeperluan khas, bahkan jumlah guru-guru di bawah UPK sendiri juga adalah kurang tetapi tidak dapat menampung keramaian murid-murid, kalaulah perkara ini benar, maka setentunya memerlukan tindakan yang cepat," tegas baginda lagi.

 

Baginda juga menekankan agar program-program pendidikan yang memerlukan supaya lebih dipantau kerana didapati beberapa program itu mengalami kepincangan-kepincangannya, seperti Program MISC Learning Lab.

 

Menurut baginda lagi, pejabat bagi program ini telah pun dikosongkan, memberikan gambaran berlakunya kepincangan dalam melaksanakannya.

 

Kemudian, Program Whole School ICT Development (WSID) dalam masa berlaku penularan wabak Coronavirus, di bawah program ini titah baginda, masih terdapat kesukaran menyampaikan pengajaran dan pembelajaran, oleh itu, ini juga memerlukan pemerhatian.

Baginda juga turut mempersoalkan mengapa inisiatif Program Model School ditutup atau diberhenti sekalipun ia dikatakan salah satu inisiatif di bawah Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21).

 

Program PAAKS ICT Certifications pula menurut baginda, maklumat ber'filing' peserta dikatakan tidak dapat digunakan, bahkan tidak ada dalam simpanan kementerian.

 

"Program guru-guru perkhidmatan CfBT (Centre for British Teachers) juga dikatakan setakat ini keputusan pelajar masih belum dapat dibanggakan. Maka ia juga memerlukan perhatian," titah baginda.

 

Selain itu, titah baginda lagi, juga terdapat beberapa projek dan program bagi meningkatkan mutu pembelajaran dan pentadbiran yang telah diperkenalkan oleh kementerian, antaranya Projek Integrated National Education Information System (INEIS), Literacy and Numeracy Coaching Program (LNCP) dan School Based Assessment (SBA), di mana baginda ingin tahu adakah projek dan program itu memberi impak yang positif atau hanya menambahkan lagi beban tugas para guru atau pengajar, perkara tersebut juga perlu lagi dikaji.

 

Turut menarik perhatian baginda ialah baginda mempersoalkan bilakah lagi masanya untuk Universiti Brunei Darussalam (UBD) mentadbir sendiri hal ehwal pendidikan tanpa turut bergantung kepada mana-mana pihak dari luar Brunei.

 

"Satu diingat perkara dasar dan sistem serta lain-lain yang mana berasaskan umur kemerdekaan Negara Brunei Darussalam telah memasuki ambang dewasanya dan demikian juga pusat pengajian kita UBD.

 

"Pada khususnya, sudah hampir menyamai umur kemerdekaan. Maka apakah belum lagi masanya untuk ia berdikari menguruskan dirinya sendiri mentadbir hal ehwal pendidikan tanpa turut bergantung kepada mana-mana pihak dari luar Brunei, setakat inilah sahaja, namun bukan bererti ini saja permasalahan yang perlu diperhatikan," tegas baginda sebelum mengakhiri titah.



Close