Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : 1 kes baharu disahkan



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




BERAKAS, Selasa, 12 Januari. - Satu kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 174 orang.

 

Kes 174, seorang lelaki berumur 28 tahun, yang tiba ke negara ini pada 30 Disember 2020 dari India dengan menaiki penerbangan BI4112 dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan pada masa ini sedang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan.

 

Dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar memaklumkan, pengesanan kontak (contact tracing) bagi kes ini sedang giat dijalankan.

 

Dengan pengesanan kes baharu ini, terdapat 18 kes aktif menurut Yang Berhormat, sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan satu kes yang sebelum ini telah dimasukkan ke Unit Penjagaan Intensif bagi pemantauan dan rawatan rapi beransur pulih dan sekarang sedang dirawat di wad perubatan di pusat berkenaan. Kesemua pesakit adalah dalam keadaan yang baik.

 

Yang Berhormat menambah, dengan pengesanan kes-kes baharu ini, sebanyak 33 kes import lagi disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020, di mana negara ini mencatatkan 251 hari tanpa kes jangkitan tempatan COVID-19.

 

"Pada hari ini, seramai 593 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara. Setakat ini, seramai 11,096 orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

 

"Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 235 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 85,871 ujian," jelas Yang Berhormat lagi.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.



Close