Manage PermissionsManage Permissions

Bertukar pandangan mengenai sektor pengangkutan, infokomunikasi



​Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Januari. - Sesi Muzakarah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diadakan hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Tingkat 1, Bangunan MTIC.


Hadir mempengerusikan Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.


Rombongan Ahli MMN diketuai oleh Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.


Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi antara lain mengongsikan pencapaian utama yang berperanan signifikan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, iaitu pelan-pelan strategik seperti Pelan Strategik MTIC 2025; Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025 yang disasarkan pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun yang akan datang.


Selain itu, beberapa inisiatif utama difokuskan bagi mencetus proses transformasi digital di negara ini, di samping memastikan keselamatan siber melalui penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai salah satu 'enabler' strategik utama kepada transformasi digital tersebut.


Manakala inisiatif-inisiatif ke arah memastikan kedayatahanan sektor pengangkutan seperti keselamatan pengguna jalan raya serta kepentingan dalam memastikan kenderaan digunakan adalah 'road-worthy' juga turut dikongsikan.


Yang Berhormat turut menyentuh mengenai impak yang dialami oleh industri pengangkutan dan infokomunikasi daripada kesan pandemik COVID-19 serta usaha-usaha ke arah memperkenalkan norma baharu dalam memastikan kedayatahanan kedua-dua sektor tersebut.


Sesi Muzakarah antara MTIC dan Ahli-ahli MMN ialah satu platform untuk berbincang secara terbuka dan bertukar-tukar pandangan dalam suasana muhibah mengenai sektor pengangkutan dan infokomunikasi terutama sekali dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan demi kepentingan rakyat dan penduduk negara ini.


Turut hadir dalam Sesi Muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap MTIC, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa, Pesuruhjaya Interim, Cyber Security Brunei (CSB) serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai MTIC.



Close