Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Kesyukuran pohon diberkati kemerdekaan, disatukan semangat menuju keselamatan, kemakmuran



Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, Tahun 1442 Hijrah / 2021 Masihi, yang diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, di sini.

 

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-37, Tahun 1441 Hijrah / 2021 Masihi; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

 

Setelah keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Azan Maghrib dikumandangkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Metassim bin Haji Metussin.

 

Kebawah DYMM kemudiannya berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, yang kemudiannya memimpin Sembahyang Sunat Hajat dan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

 

Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, antara lain supaya diberkati kemerdekaan negara, dengan seluruh generasi sambung-bersambung mendukung, menanai dan mengisinya dengan bakti suci berupa khidmat membangun, memelihara dan mempertahankannya.

 

Juga dipohonkan supaya disatukan semangat dan hati-hati, diluruskan jalan menuju keselamatan dan kemakmuran, dihias dengan keberkatan rahmat yang berpanjangan, yang dinikmati oleh negara, khasnya oleh raja yang kasihi dan oleh rakyat serta penduduk sekalian.

 

Sementara itu, Azan Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh dan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

 

Majlis kesyukuran tersebut turut diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah, seperti di Daerah Brunei dan Muara, diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

 

Manakala di Daerah Belait pula, di Masijd Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.

 

Sementara, di Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan bagi Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.



Close