Manage PermissionsManage Permissions

Persembahan hayati pembentukan negara MIB



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Masri Osman, Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Februari. - Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37 yang berlangsung di Taman Sir Muda Haji Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara hari ini diwarnai dengan persembahan tema 'Menjayakan Wawasan Negara' yang dipersembahkan oleh seramai 1,000 peserta mewakili persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah.


Persembahan ini membawa kita menghayati pembentukan negara Melayu Islam Beraja (MIB), meraikan seni budaya warisan tujuh puak serta melihat kepentingan pembangunan sumber tenaga manusia dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.


Dalam masa yang sama, persembahan tema ini juga menggambarkan kesungguhan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membangunkan sumber tenaga manusia demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.


Sejarah ketamadunan dan peradaban bangsa telah membuktikan bahawa kita selaku rakyat dan penduduk mempunyai peranan yang penting dalam membangun bangsa dan negara. Kita berjaya, bersatu padu dan berdaya tahan menangani hambatan-hambatan yang menghalang dari kita menjadi sebuah negara yang berdaulat. Alhamdulillah, berkat kepimpinan dan wawasan murni negara kita berjaya menghadapi segala cabaran dengan penuh keimanan dan semangat.


Wawasan Brunei 2035 adalah hasrat negara untuk mencapai negara maju. Persoalannya, akan bertahankah kita sebagai sebuah bangsa, sebagai sebuah negara dan sebagai sebuah peradaban.


Terbahagi kepada lima segmen, persembahan tema ini membawa penonton dalam merungkaikan ketahanan kita sebagai sebuah bangsa, negara dan peradaban yang unggul yang telah dibentuk lebih dari 600 tahun yang lalu dan kekuatan kita ialah pada MIB.


Segmen pertama iaitu Prolog memperlihatkan ketahanan sesuatu bangsa dan negara yang terletak kepada kekuatan politik, ekonomi dan sosiobudaya. NBD mengalami pembangunan dengan berlandaskan falsafah MIB yang telah menjadi ketahanan bangsa.


Pada segmen kedua iaitu Pembangunan Bangsa pula memaparkan pembangunan bangsa bermula dari rakyat yang bersatu hati dan bersatu tenaga dalam sama-sama memajukan agenda pembangunan negara. Tujuh puak bersatu meningkatkan produktiviti dan ketahanan nasional dan amalan berbudaya serta bernegara adalah tunggak kepada kesurvivalan bangsa.


Segmen ketiga pula menekankan tentang harmoni dan bersatu padu iaitu pembangunan negara akan tercapai dengan penyertaan dari masyarakat lain, sama-sama bersatu demi kemakmuran negara yang juga dapat tercapai dengan sifat saling hormat-menghormati dan bekerjasama.


Sementara itu, segmen keempat memfokuskan mengenai wawasan dan hala tuju di mana  mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan gagasan terhadap pembangunan bangsa menuju Brunei maju.


Adalah penting bagi seluruh rakyat dan penduduk NBD menggembleng tenaga dan fikiran mencapai hasrat yang murni ini. Sumber tenaga manusia yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya adalah tonggak kepada pencapaian matlamat wawasan ini. Kita juga tidak harus leka dalam arus pembangunan yang tidak berlatarbelakangkan sejarah, ketamadunan dan peradaban.


Segmen kelima iaitu 'finale' menjawab persoalan apakah bentuk kemajuan yang dicapai?  Kemajuan haruslah dicapai berasaskan kepada Purih Bangsa yang tabah, gagah, berhemah tinggi, bermaruah dan berperibadi serta bersopan dan sedar harga diri.


Upacara Persembahan Padang turut dimeriahkan dengan kehadiran penonton daripada segenap lapisan masyarakat dan penduduk di negara ini yang datang menyaksikan sambutan berkenaan yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa serta agama bagi sama-sama menzahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam menyanjungi, mencintai dan mempertahankan negara daripada sebarang anasir-anasir yang negatif.


Walaupun upacara Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini berbeza dari sebelumnya disebabkan kita masih bergelut dengan pandemik COVID-19, namun semangat patriotisme yang tinggi yang ditunjukkan oleh setiap lapisan peserta, walaupun dalam jumlah yang kecil berbanding tahun-tahun yang sudah dan termasuk semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan kali ini agar ia berjalan lancar adalah sangat disanjung tinggi.



PERSEMBAHAN penuh warna-warni yang disertai oleh persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah.



PERSEMBAHAN penuh warna-warni yang disertai oleh persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah



PERSEMBAHAN penuh warna-warni yang disertai oleh persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah



PERSEMBAHAN penuh warna-warni yang disertai oleh persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah



PERSEMBAHAN penuh warna-warni yang disertai oleh persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan seni budaya, seni warisan, seni bela diri dan pelajar-pelajar sekolah




Close