Manage PermissionsManage Permissions

Keberangkatan Penaung Diraja PPPBD serikan Majlis Khatam HK NBD PPPBD



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 




JERUDONG, Selasa, 23 Februari. - Bagi sama-sama memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran, sekali gus mendidik ahli-ahli persatuan dari aspek kerohanian, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran PPPBD sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021, bertempat di Royal Berkshire Hall, di sini.

 

Majlis diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam selaku Penaung Diraja PPPBD.

 

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Yang Dipertua PPPBD; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta Kerabat Diraja dijunjung oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diketuai bersama oleh Pemimpin-pemimpin Muda PPPBD, dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Nurul Fatin binti Abi dan Dayang Nor Sabrina binti Ratna, diikuti dengan bacaan Takhtim oleh para Peserta Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-37, Tahun 2021.

 

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Pemimpin-pemimpin Muda PPPBD, dari UNISSA, Dayang Nurul Fatin dan Dayang Nor Sabrina.

 

Majlis itu juga diserikan dengan Persembahan Dikir Asyrakal, diketuai oleh Pemimpin Dewasa PPPBD, Dayang Hamizah binti Haji Tahamit.

 

Sementara itu, bacaan Doa HK NBD dan Doa 'Allah Peliharakan Sultan dan NBD' pula dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.

 

Majlis tersebut merupakan salah satu daripada kegiatan keagamaan tahunan persatuan bertujuan untuk memeriahkan Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-37, Tahun 2021, di samping untuk mendekatkan ahli-ahli persatuan kepada Al-Quran, yang merupakan panduan hidup yang lengkap juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah dalam kalangan ahli persatuan.

 

Sebanyak tiga kumpulan pembaca menyelesaikan bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran bagi kumpulan masing-masing, yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Tadbir; Pemimpin-pemimpin Dewasa; Pemimpin-pemimpin Muda; Pandu Puteri Renjer; dan Pandu Puteri.

 

Selain kegiatan-kegiatan perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, PPPBD turut aktif dalam mengungkayahkan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan, melibatkan penyertaan ahli-ahli dari semua peringkat.

 

Antara kegiatan tersebut, termasuk Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Berjemaah bersempena hari-hari kebesaran negara juga projek berterusan Projek Pencinta Kalam Allah.

 

Turut hadir pada majlis tersebut, Naib-naib Yang Dipertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris; Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie; dan Datin Dayang Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali; juga Timbalan Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Mohd. Ali.




MAJLIS dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diketuai bersama oleh Pemimpin-pemimpin Muda PPPBD, dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Nurul Fatin binti Abi dan Dayang Nor Sabrina binti Ratna



SEBAHAGIAN ahli-ahli PPPBD yang menghadiri majlis tersebut.



SEBAHAGIAN ahli-ahli PPPBD yang menghadiri majlis tersebut.


SEBAHAGIAN ahli-ahli PPPBD yang menghadiri majlis tersebut.




Close