Manage PermissionsManage Permissions

Semangat patriotisme tetap tersemat di dalam hati, jiwa



Oleh : Khartini Hamir / Foto : Hamzah Mohidin

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Februari. - Berkat usaha negara dalam membendung penularan wabak COVID-19 dengan sebaik-baiknya, jika dilihat pada peringkat global, negara kita mungkin merupakan negara pertama yang berpeluang untuk meraikan dan menyambut sambutan hari kemerdekaannya dalam norma baharu.

 

Ini juga kerana berkat kepimpinan seorang raja dan usaha-usaha berterusan pihak kerajaan juga agensi-agensi berkaitan dan berkepentingan, di negara ini, dapat menangani isu pandemik ini dengan konstruktif juga berkesan.

 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata demikian dalam temu bual Yang Berhormat bersama Pelita Brunei, yang diadakan sejurus selesai berlangsungnya Upacara Kemuncak Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021, bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, di sini.

 

Yang Berhormat juga mengingatkan agar kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini perlu melahirkan rasa syukur kerana dapat sama-sama meraikan dan menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini walaupun dalam norma baharu, namun masih dapat mengekalkan semangat patriotisme dan kenegaraan dengan melibatkan keseluruhan penduduk di negara ini.

 

''Walaupun ia berlangsung dalam jumlah skala yang kecil jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi kemeriahannya masih dapat dirasakan dan semangat patriotisme itu masih tetap tersemat di dalam hati dan jiwa rakyat di negara ini,'' jelas Yang Berhormat.

 

Maka, dengan norma yang baharu ini, tambah Yang Berhormat, apa pun yang dirancang dan dilaksanakan masih tetap mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang dibentuk oleh pihak kerajaan untuk ditekankan, agar kita tidak akan mudah menjadi lalai atau leka dalam apa pun yang dilaksanakan, khususnya dalam membendung wabak COVID-19, di negara ini.

 

''Cuma apa yang berbeza pada tahun ini ialah jumlah bilangan peserta pada tahun lazimnya melibatkan seramai lebih kurang 40,000 orang, namun tahun ini, hanyalah sekitar 6,000 orang sahaja, tetapi kita masih dapat melihat kemeriahannya dan penglibatan daripada setiap lapisan masyarakat dapat dikekalkan serta semangat kenegaraan masih tersemat di hati keseluruhannya,'' ujar Yang Berhormat lagi.

 

Dengan bertemakan 'Menjayakan Wawasan Negara', tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD, pada tahun ini masih dikekalkan bagi memfokuskan kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035, dengan menekankan pentingnya setiap rakyat dan penduduk juga segenap sektor dalam pembangunan negara memainkan peranan masing-masing dan menggembleng usaha dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai juga berjaya.

 

Justeru, Yang Berhormat, seterusnya mengulas, tempoh 14 tahun lagi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 merupakan satu tempoh yang agak singkat, jadi kita selaku rakyat, penduduk dan masyarakat di negara ini perlu sama-sama mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membentuk perkembangan diri dan negara secepatnya.

 

''Sebagaimana titah baginda semalam, menekankan perubahan kepada sesuatu yang lebih positif, seperti dari malas kepada rajin, dari lambat kepada cepat dan dari mundur kepada maju, dan inilah 'matlamat' utama yang perlu dituju oleh bangsa merdeka, selain perlu mengisi kemerdekaan itu dengan menjana kemajuan fizikal, sejajar dengan kemajuan spiritual, di mana kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk memenuhi tuntutan negara, titah baginda lagi,'' jelas Yang Berhormat.

 

Maka, kita sebagai masyarakat yang merdeka, tidak boleh lalai untuk bertindak, kita perlu menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini, bahawa pemikiran hendaklah perlu bertukar kepada pemikiran yang lebih positif dan lebih rajin dan bukanlah menjadi kepada sesuatu masyarakat yang leka, malah perlu bersikap positif untuk sama-sama mencapai kepada Wawasan Brunei 2035 dengan kemudahan teknologi juga mampu mengikuti perkembangan dan mencipta kemajuan, dan ini juga termasuk dari aspek fizikal juga kerohanian.

 

Tambah Yang Berhormat lagi, besarlah harapan kita selaku rakyat dan penduduk negara ini untuk sama-sama mendukung dan melaksanakan dengan secepatnya apa jua perancangan-perancangan kerajaan, dan bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah pun mengeluarkan Pelan Strategik Tahun 2020 - 2024 bagi tempoh lima tahun, yang menuju kepada Wawasan Brunei 2035 ke arah Brunei yang cemerlang.

 

Di sana, terang Yang Berhormat lagi, kita perlu mengatur dan menentukan beberapa aspek, termasuk aspek kebudayaan, kebeliaan, kesukanan dan kemasyarakatan untuk ditangani ke arah menuju Wawasan Brunei 2035, khususnya dari aspek kemasyarakatan agar tidak ada masyarakat yang tercicir atau tertiris dan sebagainya, di mana matlamat KKBS adalah untuk mengukuhkan lagi pelan-pelan strategik tersebut.

 

''Jadi kita amat mengharapkan dan akan bertugas sebagai satu pasukan, di mana di sinilah kepentingan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government amat diperlukan dalam menentukan apa jua hasrat kerajaan akan dapat dilaksanakan dalam kesepaduan (teamwork) yang begitu kukuh dalam sama-sama menuju dan menjayakan Wawasan Brunei 2035 itu,'' jelas Yang Berhormat lagi.




Close