Manage PermissionsManage Permissions

Penjagaan kesihatan secara menyeluruh



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan





  • Pada tahun ini, WHO telah memilih tema 'Membangun Dunia Yang Lebih Adil Dan Sihat' (Building A Fairer, Healthier World) yang bertujuan untuk membanteras ketidaksamaan kesihatan secara global dan menyatukan semua untuk membangun dunia yang lebih adil dan sihat.

  • Ini adalah kerana kesihatan adalah hak asasi setiap individu dan setiap individu berhak untuk menerima maklumat dan perkhidmatan yang mereka perlukan bagi memastikan kesihatan diri dan ahli keluarga mereka sentiasa terjaga.
  • Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini memberi fokus kepada aspek-aspek berkaitan dengan ekuiti dan perpaduan serta menggunakan Whole of Government Approach bagi menangani halangan kepada akses kepada penjagaan dan perkhidmatan kesihatan (health inequities) dengan meningkatkan pelaburan kepada penjagaan kesihatan asasi.




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 April. - Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April di seluruh dunia sempena memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, World Health Organization (WHO) pada tahun 1948.


Setiap tahun, Sambutan Hari Kesihatan Sedunia diraikan dengan tema yang berbeza dan ia dijadikan sebagai salah satu platform utama untuk menarik perhatian orang ramai mengenai isu-isu global kesihatan semasa.


Pada tahun ini, WHO telah memilih tema 'Membangun Dunia Yang Lebih Adil Dan Sihat' (Building A Fairer, Healthier World) yang bertujuan untuk membanteras ketidaksamaan kesihatan secara global dan menyatukan semua untuk membangun dunia yang lebih adil dan sihat.


Perkara tersebut antara yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Dunia.


Menurut Yang Berhormat, WHO komited untuk memastikan setiap individu, di mana sahaja, dapat mewujudkan hak untuk mendapatkan kesihatan yang baik melalui konsep Liputan Kesihatan Sejagat dan seterusnya menggalakkan dan mempromosi tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak seluruh dunia bagi menyumbang ke arah merealisasikan Konsep Liputan Kesihatan Sejagat secara global.


Liputan Kesihatan Sejagat atau Universal Health Coverage bermaksud semua lapisan masyarakat yang memerlukan mempunyai akses yang sama untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa dibebani dengan isu kewangan.


Ini adalah kerana kesihatan adalah hak asasi setiap individu dan setiap individu berhak untuk menerima maklumat dan perkhidmatan yang mereka perlukan bagi memastikan kesihatan diri dan ahli keluarga mereka sentiasa terjaga.


Menurut WHO, jelas Yang Berhormat, sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk dunia tidak menerima perkhidmatan kesihatan yang mereka perlukan dan kira-kira 100 juta penduduk dunia menjalani kehidupan dalam kemiskinan setiap tahun kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi kesihatan mereka.


Yang Berhormat juga mengongsikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini memberi fokus kepada aspek-aspek berkaitan dengan ekuiti dan perpaduan serta menggunakan Whole of Government Approach bagi menangani halangan kepada akses kepada penjagaan dan perkhidmatan kesihatan (health inequities) dengan meningkatkan pelaburan kepada penjagaan kesihatan asasi.


Ringkasnya, dalam mencapai liputan kesihatan sejagat, sebahagian besar penjagaan kesihatan sama ada dari segi promosi kesihatan, pencegahan penyakit, perawatan atau pemulihan diberikan kepada semua peringkat masyarakat bagi memastikan Kesihatan Untuk Semua (Health For All) terlaksana dan untuk membangun ketahanan kesihatan pada masa depan.


"Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam (NBD), kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di negara ini menerima Liputan Kesihatan Sejagat daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dengan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan diperoleh di keempat daerah yang termasuk penyediaan 14 buah pusat kesihatan yang komprehensif, empat buah klinik kesihatan, dua perkhidmatan perubatan udara dan tiga klinik bergerak.


Pusat-pusat kesihatan yang disediakan di peringkat masyarakat adalah komprehensif dan selaras dengan konsep One-Stop Health Centre yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi yang bertumpu di bawah satu bumbung, dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti serta efisiensi dengan menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif berdekatan dengan masyarakat," jelas Yang Berhormat.


Pada dasarnya, Penjagaan Kesihatan Asasi mempunyai peranan yang sangat penting dalam liputan kesihatan sejagat dan juga dalam penjagaan kesihatan secara menyeluruh atau holistik kerana Penjagaan Kesihatan Asasi merangkumi keperluan kesihatan seseorang individu bagi sepanjang hayat iaitu dari sebelum kelahiran lagi, semasa kecil, sesudah dewasa dan sehinggalah ke hujung hayat.


Dalam pada itu, komitmen kerajaan NBD ke arah Penjagaan Kesihatan Asasi di negara ini dan Liputan Kesihatan Sejagat dapat dilihat melalui pencapaian negara dalam Matlamat Pembangunan Milenium 2015 (Millineum Development Goals 2015).


Menurut Yang Berhormat, NBD sudah berjaya memenuhi beberapa sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals 2030).


"Di antaranya, 1) Nisbah Kematian Ibu (Maternal Mortality Ratio) di NBD telah menunjukkan penurunan yang ketara sejak tahun 1960-an sehingga sekarang, 2) Kadar Kematian Di Bawah 5 Tahun (Under-5 Mortality Rate), NBD telah dapat mengurangkan kadar ini ke dalam sasaran SDG, 3) Mencapai liputan imunisasi yang melebihi sasaran SDG, iaitu lebih daripada 95 peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun telah diimunisasi setiap tahun dan 4) NBD telah diisytiharkan bebas-Malaria oleh WHO pada tahun 1987, bebas-Polio pada tahun 2000, Bebas-Measles pada 2015 dan bebas Rubella pada bulan November 2018," terang Yang Berhormat.


Penjagaan Kesihatan Asasi yang mantap dan teratur juga telah terbukti kos efektif dan saksama dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti serta telah membantu banyak negara dalam mencapai kemajuan ke arah Liputan Kesihatan Sejagat di negara masing-masing.


Oleh yang demikian, kefahaman yang mendalam mengenai Liputan Kesihatan Sejagat juga adalah sangat penting dalam membuat perangkaan dasar-dasar negara bagi memastikan NBD akan dapat terus maju ke arah memastikan dan mengekalkan Liputan Kesihatan Sejagat.


"Dalam mencapai impian ke arah kesihatan untuk semua atau Health For All, satu realiti, kerjasama dari semua pihak adalah sangat diperlukan. Kita memerlukan individu dan masyarakat yang mendapat akses kepada perkhidmatan untuk bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mereka mahupun ahli keluarga mereka; ahli profesional dan pekerja kesihatan yang mempunyai kemahiran untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti bersandarkan pada keperluan khusus masyarakat masing-masing atau 'people-centred care' dan para perangka dasar untuk lebih bijak serta komited dalam melaburkan perbelanjaan dalam pemberian penjagaan kesihatan asasi," tambah Yang Berhormat.


Walau bagaimanapun, Yang Berhormat berharap agar Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini akan dapat dijadikan sebagai satu landasan kepada rakyat dan penduduk NBD untuk lebih menghargai kesihatan diri sendiri dan tidak mensia-siakan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Begitu juga, para profesional dan pekerja-pekerja kesihatan juga memainkan peranan yang penting dalam sama-sama bersedia untuk mendidik para pesakit tentang cara-cara menjaga kesihatan, menyelaras penjagaan dan menyokong keperluan pesakit mereka. Hubungan profesional yang baik dapat dimanfaatkan melalui pemberian pendidikan pesakit secara berterusan dan konsisten dengan setiap pesakit.


"Akhirnya, dalam menyokong tema Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini, NBD adalah komited dan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi Penjagaan Kesihatan kepada semua lapisan penduduk di negara ini dalam merealisasikan liputan kesihatan sejagat agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama secara mudah dan saksama sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan negara di mana adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu 'Pencapaian Kualiti Hidup Penduduk Yang Tinggi' dan juga Visi Kementerian Kesihatan 'Bersama Ke Arah Warga Sihat'," jelas Yang Berhormat mengakhiri perutusan.


Close