Manage PermissionsManage Permissions

108 kes baharu, 102 kes sembuh




Oleh : Aimi Sani / Foto : Hamzah Mohidin





BERAKAS, Selasa, 14 September. - Sebanyak 108 kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini, yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 4,431 orang.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini. 


Jelas Yang Berhormat, terdapat 76 kluster aktif, termasuk tiga kluster baharu, iaitu Kluster 2034 mengandungi sembilan kes; Kluster 4321 mengandungi tujuh kes; dan Kluster Freshco Batu Satu mengandungi lapan kes.


Kesemua kluster baharu ini, tambah Yang Berhormat, juga mengandungi kes-kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, terdapat 21 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya. 


Sementara itu, ujar Yang Berhormat, terdapat 62 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.


Yang Berhormat seterusnya menambah, pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2. 


Selain itu, Yang Berhormat turut menyatakan bahawa terdapat satu kes import yang dicatatkan pada hari ini, iaitu satu kes tiba ke NBD dari Manila pada 1 September 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 684. 


“Dalam pada itu, 102 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah ini termasuk 21 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing. Kesemua mereka telah melakukan Uji Swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh. Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di NBD meningkat kepada sebanyak 2,856 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,548 kes. 


“Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, 11 kes adalah dalam keadaan kritikal dengan 10 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO). 


Sementara itu, 28 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” ujar Yang Berhormat Lagi.


Jelas Yang Berhormat, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,083 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 282,346 ujian.


Di kesempatan ini, ujar Yang Berhormat mengajak agar sama-sama bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak COVID-19 serta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar rakyat dan penduduk NBD sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala penyakit, khususnya jangkitan wabak COVID-19. 


Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu ‘www.moh.gov.bn’ atau melalui aplikasi BruHealth. 


Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 juga boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148 atau e-mel kepada ‘askhal@moh.gov.bn’.



Close