Manage PermissionsManage Permissions

Penangguhan aktiviti rentas sempadan dilanjutkan lagi



​Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 September. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan merujuk kepada Siaran Media Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai makluman ‘Pelanjutan Penangguhan Sementara Kebenaran Aktiviti Rentas Sempadan dan Kebenaran Kemasukan dan Keluar Negeri Bagi Lima Buah Negara Di Subbenua India’ bertarikh 30 Ogos 2021.


Sehubungan itu, JPM ingin memaklumkan mengenai Pelanjutan Penangguhan Sementara Kebenaran Aktiviti Rentas Sempadan selama 15 hari lagi, bermula 16 hingga 30 September 2021 bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut, termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam (NBD), kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang diberikan kebenaran oleh Kerajaan NBD.


Selain itu, kemasukan dan perjalanan ‘transit’ melalui NBD hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh Kerajaan NBD dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada bagi tujuan, iaitu Atas urusan rasmi kerajaan; Persekolahan; Perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera); dan Vaccinated Transport Operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh Kerajaan NBD bagi penghantaran bekalan import yang penting. 


Ini, termasuk bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh ‘runners’ berdaftar di NBD serta keluar dan masuk negeri secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan. 


JPM turut memaklumkan mengenai Pelanjutan Penangguhan Sementara Kebenaran Kemasukan dan Keluar Negeri Bagi Lima Buah Negara Dari Subbenua India, iaitu Republik India; Republik Demokratik Persekutuan Nepal; Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka; Republik Islam Pakistan; dan Republik Rakyat Bangladesh selama 15 hari lagi, bermula 16 hingga 30 September 2021, di mana bagi perjalanan masuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di Subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh). 


Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di NBD adalah dibolehkan untuk memasuki negara ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan. 


Ini, termasuk bagi perjalanan warganegara asing yang berlepas dari Subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) dengan melalui NBD secara ‘transit’ dan perjalanan keluar dari NBD menuju ke Subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) atas apa juga sebab atau urusan. 


Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negeri serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang telah dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang telah bekerja sementara di NBD dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap. 


Penangguhan kebenaran ini juga dikenakan bagi warganegara asing yang diberikan kebenaran awal untuk memasuki NBD dari Subbenua India (India; Nepal; Sri Lanka; Pakistan; dan Bangladesh) melalui penerbangan yang dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik. 


Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa. 


Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari Laman Sesawang JPM di alamat ‘www.pmo.gov.bn/travelportal’ atau menghubungi ‘travel hotline’ menerusi talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada ‘travelapplication@jpm.gov.bn’. 




Close