Manage PermissionsManage Permissions

Politeknik Brunei tawarkan 21 kursus diploma sesi 2017 / 2018



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Julai. - Politeknik Brunei hari ini mengalu-alukan seramai 730 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2017 / 2018 pada Majlis Minggu Orientasi yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Pengarah Politeknik Brunei, Dennis Ho Mun Tai dalam ucaptamanya berkata,  sesi pengambilan kali ini menawarkan sebanyak 21 kursus diploma di peringkat 4 dan 5 yang akan dikendalikan di tiga lokasi iaitu di School of business, School of Information and Communication Technology (ICT) di Kampus Ong Sum Ping; School of Science and Engineering di Kampus Lumut dan di Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah Institute of Health Sciences, Universiti Brunei Darussalam.


Menurutnya, kursus-kursus di politeknik berkenaan adalah dikendalikan dengan mengikuti keperluan pihak industri bagi tujuan pembangunan dan perkembangan sosioekonomi negara.


"Dan dalam usaha Politeknik Brunei ini, sifat kerjasama dan sokongan padu di antara semua yang terlibat terutama sekali di antara semua warga Politeknik Brunei termasuk para pelajar, adalah mustahak bagi sama-sama menjayakan pelaksanaan kursus-kursus ini," terang beliau.


Beliau juga yakin institusi tersebut akan terus menghasilkan tenaga pekerja muda bagi menampung keperluan tenaga pekerja mahir di industri-industri berkenaan di negara ini.


"Dan perkara ini adalah bertepatan dengan visi Politeknik Brunei untuk menjadi sebuah politeknik terkenal yang mengeluarkan graduan-graduan yang berinovatif, berkemahiran dan 'marketable'," katanya.


Majlis diteruskan dengan lafaz ikrar daripada 17 pelajar pengambilan ketujuh  bagi Sesi Akademik 2017 / 2018.


Sesi Orientasi ini telah diisi dengan  Taklimat Mengenai Pendaftaran dan Peperiksaan; Enrichment Module dari Centre for Student Development and Innovation (CSDI); Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE); Perkhidmatan Pelajar dan Etika; Perkhidmatan Kewangan dan perkara-perkara akademik.

 

Begitu juga dengan taklimat dari Jabatan Pembelajaran dan Perpustakaan serta Jabatan Perkhidmatan Industri mengenai 'internship', di samping mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kepimpinan dan kerja berpasukan  yang dialu-alukan oleh Politeknik Brunei.

Close