Pelan Strategik 2016 - 2020 KSSUP dilancarkan



Oleh : Aimi Sani / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Januari. - Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2016 - 2020 Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya iaitu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan diadakan bertempat di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

 

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

 

Melalui Pelan Strategik 2016 - 2020 KSSUP, kementerian berkenaan akan melaksanakan visinya ke arah pertumbuhan pesat keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan sehingga mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi demi mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

Sementara itu, misi kementerian pula ialah menerajui pertumbuhan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan untuk menjadi penyumbang yang signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara dengan memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi tinggi serta memfokus kepada pasaran eksport.

 

Terdahulu, Yang Berhormat dalam ucapannya menyentuh beberapa perkara utama dalam melaksanakan pelan strategik kementerian yang mana antaranya ialah perubahan sikap dan minda seluruh warga kementerian yang sangat dituntut dan diperlukan, dalam melaksanakan kerja-kerja yang diberikan.

 

Menurut Yang Berhormat, sikap 'business as usual' perlu dikikis, semua peringkat pegawai perlu bekerja lebih gigih dan cemerlang bagi memastikan kementerian dapat melaksanakan strategi-strategi yang telah ditetapkan.

 

Selain itu, Yang Berhormat juga menasihati pegawai-pegawainya supaya bekerja mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan mengikut urus tadbir yang terbaik, di samping saling mengingati supaya dapat mencapai sasaran dengan jayanya tanpa menghadapi sebarang insiden yang kurang disenangi jua.

 

Selaras dengan visi dan misi tersebut, KSSUP memberikan penekanan kepada empat teras utama iaitu pertumbuhan, produktiviti, eksport dan berdaya tahan.

 

Pelan Strategik 2016 - 2020 KSSUP juga menghuraikan matlamat-matlamat strategik kementerian, seperti meningkatkan sumbangan keluaran industri pertanian, perikanan, perhutanan dan industri pelancongan kepada pertumbuhan KDNK; Meningkatkan jumlah keluaran dan nilai eksport dari industri pertanian, perikanan dan perhutanan; Meningkatkan produktiviti industri pertanian, perikanan, perhutanan dan perhutanan melalui penggunaan teknologi dan teknik-teknik moden secara meluas; Mengurangkan pergantungan ke atas import barang makanan tetapi bersikap terbuka dengan peningkatan import bahan bagi industri pemprosesan; Meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran asing yang dijana daripada aktiviti eksport dan daripada industri pelancongan; Meningkatkan pertumbuhan jumlah ketibaan pelancong dan pertumbuhan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan di Negara Brunei Darussalam supaya dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK; Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan strategi dan program untuk meningkatkan keluaran industri-industri dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti dengan Public Private Partnership (PPP), Joint Venture (JV) dan lain-lain.

 

Bagi tempoh 2016 hingga 2020, kementerian ini mensasarkan keluaran kasar industri sumber-sumber utama meningkat dari BND511 juta pada tahun 2015 kepada BND1.8 bilion menjelang tahun 2020, iaitu peningkatan purata sebanyak 28.8 peratus setahun.

 

Dengan demikian, sumbangan sektor industri pertanian, perikanan dan perhutanan akan meningkat dari satu peratus KDNK pada tahun 2015 kepada lima peratus KDNK menjelang tahun 2020.

 

Untuk mencapai sasaran dan trajektori 2016 – 2020, kementerian ini melalui jabatan-jabatan yang berkenaan akan memberikan tumpuan kepada beberapa industri utama iaitu industri ayam pedaging; industri sayur-sayuran; industri bunga keratin; industri agrimakanan; industri akuakultur (ternakan ikan dalam sangkar luar pantai dan ternakan udang); industri pemprosesan makanan laut dan industri hiliran dan nilai tambah perhutanan.

 

Bagi sektor pelancongan pula, kementerian mensasarkan bilangan ketibaan pelancong meningkat dari 218,000 pada tahun 2015 kepada 450,000 pada tahun 2020 iaitu peningkatan purata sebanyak 5.9 peratus setahun dan nilai pendapatan dari sektor pelancongan dijangka mencecah BND335 juta menjelang 2020.

 

Melalui pelan strategik ini, KSSUP juga mensasarkan berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

Sehingga tahun 2020 nanti, industri pertanian dijangka akan dapat menjana lebih 4,800 tambahan peluang pekerjaan, industri perikanan menyediakan lebih 2,500 tambahan peluang pekerjaan; industri perhutanan lebih 360 tambahan peluang pekerjaan dan industri pelancongan pula akan menyediakan lebih 330 tambahan peluang pekerjaan.

 

Majlis diselajurkan dengan penyerahan Pelan Strategik 2016 – 2020 KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya kepada Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah dan ketua-ketua bahagian di KSSUP.

Close