Manage PermissionsManage Permissions

Syarikat Pelaburan Langsung sediakan lebih 1,000 pekerjaan



Laporan : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hamzah Mohidin, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


LOGO MMN 2016BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Mac. - Kehadiran Syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing sejauh ini tidak dinafikan telah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dari segi pekerjaan, dari 17 buah syarikat luar negeri yang sudah beroperasi telah dapat memberikan sumber pekerjaan kepada 1,321 orang pekerja tempatan ataupun 58 peratus dari keseluruhan jumlah pekerja.

Malah sebilangan syarikat mengambil berkhidmat lebih ramai tenaga tempatan dibanding tenaga luar negeri seperti Syarikat Brunei Methanol Corporation (BMC) dengan 203 orang pekerja tempatan berbanding dengan 26 pekerja luar negeri, Simpor Pharma dengan 63 peratus pekerja tempatan, Beibu Ports Maintenance dengan 80 peratus, sementara HLDS dengan 66 peratus pekerja tempatan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia  (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyentuh perkara tersebut dalam ucapan penangguhan pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dari Musim Permesyuaratan ketiga belas yang bersidang di sebelah pagi di Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Dalam sektor-sektor tertentu menurut Yang Berhormat, nisbah pekerja asing adalah sedikit tinggi, seperti Syarikat Hengyi dalam mana sehingga kini terdapat 328 ataupun 52 peratus pekerja tempatan dan Projek Jambatan Temburong yang mengambil berkhidmat 151 orang atau 42 peratus.

''Sebenarnya, dalam beberapa sektor pekerjaan kita masih mempunyai nisbah pekerja asing yang tinggi. Berasaskan Banci Majikan dan Pekerja 2015 dalam 19 sektor pekerjaan terdapat 82,739 pekerja asing. Terdapat 64 peratus dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 78 peratus, pembuatan 79 peratus, pembinaan 87 peratus dan aktiviti penyediaan tempat tinggal dan pemakanan 70 peratus. Ini bermakna dalam bidang tertentu, kita masih kekurangan tenaga kerja yang mahir, berpengalaman pada tahap yang mencukupi,'' ujar Yang Berhormat Menteri.

Oleh itu ujar Yang Berhormat, kita masih memerlukan sumbangan tenaga luar negeri untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan agar menjadikan negara kita lebih kompetitif dan bukan mengenepikan tenaga tempatan.

''Di sinilah letaknya keperluan bagi tenaga tempatan untuk mengisi ruang-ruang ini dengan latihan dan bimbingan secara berterusan untuk mengasah kemahiran dan meningkatkan pengalaman selaras dengan dasar pembruneian tenaga kerja di negara ini sepertimana salah satu fokus strategik iaitu meningkatkan kapasiti dan model insan,'' tambah Yang Berhormat.

Menyedari akan hal itu, kerajaan telah mengambil langkah untuk mewujudkan beberapa program atau inisiatif untuk memastikan tahap kemahiran dapat dicapai mengikut bidang-bidang tertentu dengan pengenalan Industrial Compentencies Framework dan program-program latihan kemahiran menerusi institusi pendidikan dan latihan.

Sehubungan dengan ini juga jelas Yang Berhormat Menteri, kita di dewan ini menyambut baik Program Apprenticeship atau I.Ready yang akan memberi pengalaman bekerja kepada graduan membina pengalaman dan keupayaan serta meningkatkan 'marketability' dan mengurangkan 'mismatching'.

Yang Berhormat berkata, kita berharap peluang seperti ini akan dapat dimanfaatkan oleh para graduan dengan keazaman demi kebaikan diri sendiri dan meningkatkan kapasiti sumber tenaga tempatan.

Dalam hubungan tenaga manusia tambah Yang Berhormat, kita perlu merenung secara serius titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa sumber tenaga tempatan masih sahaja bermasalah.

Menurut Yang Berhormat lagi, juga jadi masalah ialah dapat bekerja di sektor swasta tetapi tidak kekal lama hanya sebulan atau seminggu dua sahaja sudah berhenti balik semula menjadi penganggur.

''Kita percaya akan kesungguhan sebahagian besar pengusaha tempatan untuk mengutamakan dan mengambil berkhidmat dan melatih tenaga tempatan. Kita juga mengakui kesediaan syarikat luar negara untuk mengambil berkhidmat tenaga tempatan. Akan tetapi kerana ketiadaan tenaga tempatan yang bersesuaian, kekosongan ini akhirnya terpaksa diisi oleh tenaga luar negeri,'' tambah Yang Berhormat.

Dengan segala usaha mempermudah dan berbagai-bagai galakan dan insentif yang dihulurkan disediakan kerajaan, jika peluang-peluang ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh tenaga tempatan bukanlah salah 'ibu mengandung', ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Close