Manage PermissionsManage Permissions

Tunggakan pengguna jika dilunaskan ringan beban kerajaan



Laporan : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Muhammad Asri Haji Awang Abas


LOGO MMN 2016BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Mac. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, jumlah tunggakan daripada pengguna-pengguna yang terdiri daripada pihak swasta dan orang ramai kepada agensi-agensi kerajaan setakat ini keseluruhannya adalah berjumlah kira-kira BND461 juta.

Tunggakan itu, jika dilunaskan, akan dapat juga meringankan tanggungan perbelanjaan kerajaan dalam menampung keperluan operasi pemberian perkhidmatan tersebut serta meningkatkan lagi tahap perkhidmatan tersebut mengikut keperluan semasa.

Dalam hal tersebut, Yang Berhormat semasa berhujah pada Ucapan Menggulung Perbahasan pada sesi penutup Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 1438 Hijrah bersamaan 2017 Masihi di Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan, memohon kerjasama dan jasa baik Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sama-sama membawa ke perhatian anak buah dan komuniti masing-masing mengenai pentingnya tuntutan-tuntutan perkhidmatan kerajaan untuk dilunaskan dalam masa yang ditetapkan, semata-mata bagi keperluan bersama.

Terdahulu, Yang Berhormat menyatakan dalam Anggaran Belanjawan yang disediakan, maklumat mengenai jumlah perbelanjaan yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk terus menyediakan beberapa keperluan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, perumahan dan sebagainya ada dinyatakan dengan jelas.

''Kebanyakan kemudahan dan keperluan asas ini telah dihulurkan oleh kerajaan secara subsidi, di mana perbelanjaan sebenar kerajaan adalah lebih tinggi dari bayaran yang dikenakan kepada penerima atau pengguna,'' ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, seperti juga di tahun-tahun sebelumnya akan berterusan memberikan keutamaan dan penekanan pada usaha untuk mempelbagaikan asas sumber perekonomian dan pendapatan negara.

Yang Berhormat seterusnya menambah, antara inisiatif-inisiatif yang diambil termasuklah dalam menarik lebih banyak pelaburan-pelaburan langsung asing yang berkualiti; mengembangmajukan perusahaan-perusahaan tempatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana; memudah cara perniagaan termasuk mengemaskinikan dasar-dasar dan peraturan-peraturan berkaitan dan sebagainya yang sekali gus mendukung produktiviti negara.

''Kita semua amat bersyukur, dengan kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah memperkenankan pewujudan Program i-RDY khususnya bagi graduan-graduan tempatan yang masih mencari pekerjaan,'' katanya.

Terangnya, Program i-RDY yang akan dilancarkan bermula April 2017 nanti akan dapat memberikan manfaat bersama di antara peserta, pihak majikan dan pihak graduan yang mencari kerja itu sendiri.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua) seterusnya menjelaskan, bahawa majikan-majikan yang menyertai program tersebut akan dapat memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang telah terdapat pada graduan-graduan tempatan untuk meningkatkan produktiviti perusahaan atau operasi mereka, manakala para graduan pula akan dapat meningkatkan kemahiran mereka, di samping menimba pengalaman-pengalaman yang amat berguna bagi meningkatkan prospek mereka dalam memperolehi pekerjaan.

Seterusnya jelas Yang Berhormat, di peringkat negara, peningkatan produktiviti sektor swasta dan kerajaan akan dapat menyumbang pada peningkatan pendapatan dan kadar pertumbuhan negara.

Close