Manage PermissionsManage Permissions

Kementerian Pendidikan tingkatkan tahap pendidikan



Oleh : Nurafilabibah Mohd. Shafiee / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Februari. - Menurut Ketua Strategik Prestasi Enterprise dan Unit Pembahagian (SEPADU), Awang Shahrizal bin Haji Emran menerangkan Wawasan Brunei 2035 berhasrat menjadikan negara ini dikenali di seluruh dunia dengan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya yang diukur berdasarkan piawaian tertinggi antarabangsa.

Beliau menjelaskan hal itu pada Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di salah sebuah hotel, di sini.

Katanya, inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan peratus tenaga pengajar yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi serta peratus institusi pendidikan yang berada di tahap minima standard sekolah dalam menyokong pencapaian sasaran Kementerian Pendidikan, antaranya adalah Akademi Guru Brunei Darussalam yang bertujuan untuk memberikan pembangunan profesional berterusan dalam membantu guru-guru meningkatkan kemahiran penilaian untuk memperkayakan pelajar dengan ilmu serta kemahiran abad ke-21, Perlaksanaan Rangka Kerja Perkembangan Profesional Guru-Guru akan memberikan panduan melaksanakan program perkembangan profesional guru secara lebih bersistematik; dan Latihan perkembangan profesional akan memastikan agar guru-guru sentiasa memiliki kemahiran-kemahiran yang relevan dan terkini dalam pengajaran serta pembelajaran melalui kursus-kursus jangka panjang juga jangka pendek.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah untuk menghasilkan peningkatan sistemik dalam kualiti pengajaran serta pembelajaran literasi dan numerasi menggunakan amalan-amalan terbaik pedadogi secara berkesan bagi melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran numerasi juga literasi bahasa Inggeris yang tinggi.

Sesi Muzakarah dihadiri oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Timbalan Menteri Pendidikan; Ahli-ahli MMN, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) serta ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit di Kementerian Pendidikan.

Rombongan Ahli-ahli MMN diketuai oleh Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, Penghulu Mukim Kota Batu.

Di samping itu, Sesi Muzakarah ini juga memberikan peluang pada Kementerian Pendidikan menyampaikan perkembangan terkini termasuklah tindakan susulan yang telah, sedang dan akan dijalankan terhadap isu-isu yang pernah ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat MMN semasa sesi permuzakarahan juga persidangan MMN pada tahun lepas mahupun tahun-tahun sebelumnya.

Close