Manage PermissionsManage Permissions

Keberangkatan meriahkan Sambutan Tahun Baharu Tionghua 2017



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Masri Osman, Mohd. Sahrizal Haji Said



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bagi memeriahkan Majlis Ramah Mesra Perayaan Tahun Baharu Tionghua 2017.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada Majlis Ramah Mesra Perayaan Tahun Baharu Tionghua 2017 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dijunjung oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin, selaku Penasihat Kehormat majlis dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ong Tiong Oh yang juga selaku Pengerusi Majlis serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Majlis.

Berangkat sama, ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.

Sejurus keberangkatan tiba Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja di Dewan Plenari, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan dan diikuti pula pesambah ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Setelah itu, lafaz ikrar taat setia dibacakan ke hadapan majlis baginda yang diketuai oleh Awang Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman @Tan Kah Hock yang juga selaku Setiausaha Merangkap Ketua Perancang Acara Persembahan Majlis berkenaan.

Majlis ramah mesra perayaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan menerusi konsep yang berteraskan budaya tradisional Melayu dengan adunan budaya Masyarakat Tionghua.

Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, acara persembahan kali ini diadakan dengan konsep baharu yang bertemakan ‘Belia Berinovasi Penggerak Wawasan Negara’ yang mengetengahkan golongan muda itu merupakan aset penting bagi mempercepatkan proses pembangunan negara demi mencapai Wawasan Negara 2035.

Majlis anjuran Masyarakat Tionghua kali ini juga untuk pertama kalinya mengadakan konsep ‘Rumah Terbuka’ melalui ‘video conference’ dengan tujuan untuk memberi peluang kepada baginda berdua serta kerabat diraja yang lain berinteraksi dan beramah mesra bersama rakyat jelata.

Inisiatif itu bukan sahaja menggambarkan sikap penyayang dan keprihatinan seorang raja yang berjiwa rakyat, malah ia juga meningkatkan tahap kesetiaan rakyat dan penduduk di negara ini terhadap Kebawah DYMM.

Persembahan juga diserikan dengan bacaan pantun dan syair dengan diselang-selikan dengan Tarian Melayu dan Tionghua dalam mencerminkan interaksi budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Masyarakat Tionghua.

Sambutan  Tahun Baharu Cina 2017, iaitu Tahun Ayam Api disifatkan memberi kekayaan dan keuntungan bagi kepercayaan Masyarakat Tionghua.
Close