Manage PermissionsManage Permissions

Doa Kesyukuran sempena Puja Usia



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Februari. - Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia Ke-43 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan bertempat di Masjid Perpindahan Lambak Kanan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Timbalan Pengerusi (Tetap) Majlis Bencana Kebangsaan.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Perpindahan Lambak Kanan, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Jumat dan diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin serta Tahlil yang diketuai oleh Imam Masjid Perpindahan Lambak Kanan, Awang Khairul Arifin bin Haji Yussop.

Bacaan Dikir Asharaqal dan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Imam Masjid Perpindahan Lambak Kanan, Awang Haji Abdul Malik meneruskan majlis itu.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku Penghulu Mukim Berakas 'B'; Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEDN.

NDMC yang juga dikenali sebagai National Disaster Management Centre mula ditubuhkan pada 1 Ogos 2016 di bawah mandat Perintah Pengurusan Bencana, 2006.

Sejak ditubuhkan, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh NDMC dengan kerjasama pelbagai agensi dalam sama-sama memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta penduduk di negara ini dari sebarang kejadian yang tidak baik.

Salah satu dari pendekatan yang diambil oleh NDMC ialah pengurangan risiko bencana atau 'disaster risk education' yang bertujuan untuk mengurangkan kadar kerosakan dan kerugian yang dibawa oleh sesuatu kejadian bencana melalui tindakan-tindakan yang teratur serta bersistematik.

NDMC terletak di Jalan Landasan Lama Berakas berdekatan dengan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Close