Manage PermissionsManage Permissions

Mangsa kebakaran terima sumbangan Yayasan



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 April. - Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) salah satunya bertujuan dalam memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana kebakaran rumah.

Sehubungan itu, Yayasan hari ini menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhan berjumlah BND18,300.00 kepada empat buah keluarga yang terdiri daripada 21 ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah baru-baru ini di Kampung Bukit Puan dan Kampung Pelambayan.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Awang Haji Brahim bin Haji Ismail.

Bantuan tersebut dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Ketua-ketua keluarga mangsa kebakaran yang menerima sumbangan daripada Yayasan terdiri daripada Tuwat anak Manggau dan Joharie anak Tuwat dari Kampung Bukit Puan, Luagan Lalak, Labi serta Dayang Hamidah binti Haji AIi dan Awang Suhairol bin Haji Yahya dari Kampung Pelambayan.

Dayang Hamidah ketika ditemui melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan, di samping pemedulian dan keprihatinan terhadap nasib mereka.

Ketika ditanya mengenai kejadian kebakaran yang terjadi, beliau menceritakan kejadian berlaku pada 15 Mac baru-baru ini sekitar jam tengah hari.

Beliau tidak menyedari punca kebakaran bermula dari garaj sehingga membolehkan api menjilat rumah mereka.

Semasa kejadian tambahnya, beliau diberitahu oleh cucunya bahawa api sudah semakin membesar.

Pada masa ni beliau tinggal bersama ahli keluargnya di Kampung Serdang.

Close