Karya: ADI JIWA
Auni terus melangkah memijak anak tangga selepas mandi pagi. Sampai di atas Auni terkejut dengan sapaan papa. ''Awal kau bangun!'' '' Oh ! mestilah. Nak rasa nyamannya pagi Syawal. ''Semalam dah puas kena embun malam Syawal.'' papa gelak.
''Eh! papa ni bila nak bangun? Nenek awal-awal lagi dah bangun,'' tegurku lagi. ''Ni,
dah buka mata. Kejap lagi papa bangunlah. Kejap lagi papa bangunlah.
Eh, bilik air.......siapa mandi?'' ''Biasalah kumpulan Auni dulu!''
''Ooh, tak boleh jadi ni, kena mencelah.'' '' Eh, pandailah. Tunggu
giliran!'' ujurku beramaran. ''Kenalah hormat orang yang lebih tua dulu. Sudah pergi sembahyang.''
Auni
akur. Papa sememangnya suka bergurau, tetapi kalau moodnya tidak begitu
baik takut juga aku jadinya. Kalau dia serius aku pun turut serius.
Masa itu tiada jenaka lagi. Otak pula ligat berputar mencari alasan.
Auni mencapai baju kurung sebaik sahaja selesai solat. Tidak sabar mahu
memakainya. Tetapi nantilah selepas menyediakan juadah untuk sarapan.
Auni menggantungkannya semula. Auni ke dapur. Sambil menyediakan sarapan
pagi aku ditemani dengan beberapa buah lagu dari kumpulan lagu Dato
Ahmad Jais. Sebenarnya aku memutarkan kaset itu semata-mata untuk
mendengar lagu Syawal. Lagu itu agak rancak. Aku terikut-ikut sama
menyanyikan lagu tersebut.
''Hai riang saja!'' tegur Mak Limah yang masih berbaju tidur. ''Mestilah. Takkan tak bersemangat ..... Emm, wanginya bau daging rendang ni!''
ujar aku lagi. Semalam, sewaktu masak daging rendang ini akulah yang
paling sibuk. Maklumlah masak daging rendang bersama nasi lemang
kegemaran. Lagipun daging rendang bersama nasi lemang istimewa pada hari
raya sahaja. Setahun sekali baru dapat merasainya. Nanti apabila
dimakan dengan nasi lemangnya......
''Auni! Auni!'' ''Ops!'' Itulah..... ke mana tadi? Berkhayalkah? ''Eh! Taklah. Teringat masak daging rendang ni semalam,'' ujarku sambil tersenyum. Mak Limah menggeleng cuma, lalu beredar.
''Auni dah hidangkan semuanya?'' Soal mama dari belakang. ''Sudah,
mama. Semuanya dah siap. Tinggal nak jamah saja.'' ''Okey, Auni pergi
tukar baju dulu. Yang lain kebanyakannya dah siap. Kejap lagi nak
bermaafan.'' Mama mengarah lembut." Ketika aku ke atas untuk bersiap kelihatan yang lelakinya berbaju cara Melayu dengan kain jong sarat.
Manakala
yang perempuan ada yang berbaju kebaya dan berbaju kurung. Aku pula
berbaju kebaya biru. Selesai bersiap aku ke ruang tamu. Masing-masing
sudah berkumpul. Kami bermaafan mengikut giliran. Dimulai dengan Mak
Limah, kemudian diikuti oleh adik-adiknya. ''Mama, Auni minta maaf. Selamat hari raya, mama,'' ujarku sambil mencium tangannya. ''Ya, mama maafkan.''
Kemudian
aku mendapatkan papa pula, dan seterusnya saudara-maraku yang lain.
Selepas bermaafan, mama dan papa menghulurkan sampul kecil berwarna
hijau. Inilah adat yang aku alami sejak zaman anak-anak sehinggalah
remaja kini. Keadaan ini akan berakhir jua beberapa tahun lagi. Begitu
juga dengan saudaraku yang masih kecil itu. Mereka akan mengalaminya
juga nanti. Selesai bermaafan kami bergambar beramai-ramai.
''Tok! Tok! Cepat!''
laung anak saudaraku yang berusia lapan tahun. Mendengar laungan itu
Tok segera berkumpul bersama. Seketika kemudian lampu imbasan kamera
terpancar. Kemudian kami bersarapan. Selesai menikmati hidangan,
masing-masing ke bilik air untuk berwuduk. Akhirnya, tiga buah kereta
yang kesemuanya buatan Jepun itu bergerak keluar dari pekarangan rumah
menuju ke masjid.
''Auni, mak Limah mana?'' soal mak Timah. ''Di hujung sana tu, dengan Yati,'' ujarku seraya memandang ke arah Mak Limah. ''Auni
tolong pergi panggil Mak Limah. Kita nak ke kubur ni.'' Mari Mak Limah,
kita ke kubur. Mama dan Mak Timah tunggu di sana,'' ajakku setelah
mendapatkan Mak Limah. Kemudiannya kami beriringan menuju ke tanah
perkuburan. Di situ ada kubur nenek mama, Mak Timah dan Mak Limah. Aku
memanggilnya Nek Limah.
Nek Limah meninggal dunia tiga tahun
yang lalu. Nek Limah pergi buat selamanya ketika aku masih di bangku
sekolah rendah. Kasih sayang yang Nek Limah tumpahkan kepadaku ketika
hayatnya masih dapat dirasai. Aku masih ingat, setiap kali aku pulang ke
kampung Nek Limah akan menyediakan kuih-muih yang istimewa buatku.
Kebanyakan kuih yang menjadi kegemaranku. Paling aku gemar ialah kuih
bingka ubi. Kini, sejak ketiadaannya, aku tidak lagi dapat merasakan
kuih yang seenak bingka ubi Nek Limah.
''Auni, marilah kita ke dapur. Nek Limah dah siapkan semuanya,'' ajak Nek Limah sambil mendapatkan aku yang sedang bermain di ruang tamu. ''Nek Limah masak apa?'' ''Nantilah.... Kita ke dapur dulu. Ha! ajak papa sama. Mama dah duduk di meja tu.''
Nek Limah sengaja berkata demikian untuk menguji kesabaranku. Aku
melepaskan jari-jemariku daripada terus memegang tangan Nek Limah untuk
mendapatkan papa yang sedang berbual.
''Papa, Pak Abu, Nek Limah panggil ke dapur. Makan!'' Papa masih rancak berbual sambil mengiyakan sahaja ajakku.
''Papa. cepatlah! Nek Limah tunggu tu. Papa......''
Aku terus mengajak kerana tidak berpuas hati dengan anggukan papa tadi.
Akhirnya papa menurut. Aku berlari-lari anak mendapatkan Nek Limah
semula.
''Cepatlah, Nek Limah! Auni tak sabar nak tengok
apa yang Nek Limah masak.'' ''Ha! Ini jem Anggur. Nek Limah masak
semalam. Makanlah dengan roti ni.” Nek Limah menyapukan jem tersebut pada roti lalu menghulurkan kepadaku. Aku memakannya berselera sekali.
''Malam nanti kita makan mee goreng pula,”
kata Nek Limah ketika menemani aku di sudut meja. Sambil itu Nek Limah
berbual mesra bersama cucu-cucunya. Hampir seminggu aku tinggal di rumah
Nek Limah.
Setiap malam aku tidur bersamanya. Akhirnya,
ketika akan pulang, Nek Limah memberikan aku sebotol jem. Gembiranya aku
ketika itu. Peluk dan cium Nek Limah pada setiap aku tiba dan akan
pulang masih aku rasai. Pada hari raya begini aku seolah-olah terasa
panasnya titisan jernih dari kelopak mata Nenek Limah ketika mencium aku
sewaktu bermaafan.
Semuanya itu berlaku empat tahun lalu. Itulah ciuman terakhirnya.
Nek
Limah meninggal tanggal satu Syawal. Nek Limah tidak mempunyai
penyakit. Namun, itulah ketentuan Tuhan terhadap setiap makhluk. Dia
meninggal selepas Sembahyang Subuh. Walaupun telah sekian lama Nek Limah
meninggal dunia, wajah lembutnya tidak pernah aku lupakan. Ketika
sampai di rumah, kami ke dalam bilik menghadap cermin. Masing-masing
membetulkan baju agar kelihatan lebih kemas. Mama menyepitkan sehelai
selendang yang warnanya agak kontra dari baju kurung dengan kemas. Aku
membantu mama memperkemas selendang yang bahagian belakang. Ketika hari
raya begini terasa keangunan menyerlah pada diri masing-masing.
Atas
permintaan Nek Limah dan papa kami bergambar kenangan sekali lagi.
Sebaik sahaja selesai menjadi model kami mula menerima kunjungan sanak
saudara. ''Assalamualaikum!'' ''Waalaikumussalam!'' sahut papa dari dalam. ''Auni, pergi tengok siapa yang datang.'' ''Okey!'' kataku lantas beredar dari sofa yang agak terlindung sedikit lalu menuju ke muka pintu.
''Eh! Pak Ludin! Jemputlah masuk. Papa ada di dalam,'' pelawaku lalu menunjukkan ke arah sofa di sudut kanan. Aku bersalaman sambil bermaafan dengan pak Ludin dan mak Rubi. ''Apa khabar, abang Aji?'' ujar pak Ludin mendapatkan papa.
''Baik!'' ''Udin minta maaf banyakbanyak, bang. Selamat Hari Raya! ”
''Abang pun begitu juga, Udin.'' Papa kemudiannya rancak bergurau.
Maklumlah masing-masing jarang berjumpa. ''Auni macam mana sekarang ni?”'' Mak Rubi bertanya ketika aku meletakkan jag air ais di atas meja. ''Biasa saja, mak Rubi.'' ''Belajar okey? Periksa macam mana?'' soal pak Ludin pula. ''Baik saja. Tapi agak kecewa juga.'' ''E, mengapa pula ?'' Pak Ludin kehairanan. ''Auni tak dapat sasaran,'' ujarku perlahan. ''Maksud Auni? Papa khabarkan pada pak Ludin Auni bagus, kecuali satu yang agak teruk,'' kata pak Ludin dalam nada yang masih kehairan. Dahinya dikerutkan sedikit.
''Betullah tu. Tapi, Auni nak yang pertama!'' Aku kemudiannya mengambil tempat di sebelah mak Rubi. ''Oh,
begitu. Auni janganlah risau sangat. Yang penting Auni tambahkan usaha.
Cita-cita tu akan tercapai nanti. Ingat, usaha lebih penting. Yang
utama jangan lupa tanggungjawab kepada-Nya,'' Pak Ludin memberi semangat. ''Auni jangan putus asa. Ada dua semester lagi,'' tokok mak Rubi pula. ''InsyaaAllah. Auni akan usahakan......... yang terbaik.'' ''Pak Ludin, mak Rubi, jemputlah. Semuanya dah terhidang ni.''
Belum
pun sempat kerusi di meja makan panas, kami menerima tetamu lagi.
Biasalah pada hari perayaan lebaran begini, ramai tetamu yang
berkunjung. Tambahan pula kami mengadakan rumah terbuka. Sehingga pada
sebelah petangnya keletihan mula dirasai. Namun, kegembiraan mengatasi
keletihan itu. Inilah hari mulia yang menemukan sanak saudara dan
sahabat handai dari jauh dan dekat.
Keesokan harinya papa merancang agar giliran seisi keluarga pula berkunjang ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. ''Auni, Auni, bangun.''
Terasa
seolah-olah ada orang yang mengejutkan aku dan menggoyanggoyangkan
bahuku. Aku cuma mampu membuka mata kecil. Cukup sekadar sejalur cahaya
masuk ke dalam mataku. Aku tidak mampu untuk melihat objek di hadapanku.
''Apa? Bangun? Nak ke mana Nantilah!'' ujarku masih dalam keadaan bawah sedar. ''Hey, dah empat pagi ni.''
''Hmm........''
Aku masih tidak dapat membuka mata. Masih gelap pandanganku. Aku cuba
bangun. Kepalaku terasa berat lalu tumbang di tempat yang begitu empuk.
Aku kembali keadaan asal. ''Auni, Auni, bangunlah!'' Kedengaran suara mama menerjah ke gegendang telingaku.
''Nak buat apa bangun awal pagi ni?” tingkahku kembali. ''E, masa berjalan ni. Nanti tak sempat bersahur.'' ''Bersahur?!'' Aku segera bangun lalu melangkah sambil menggosok-gosok mata. ''E, nak ke mana tu Auni,” tegur mama. ''A? Oh....... '' ''Mengapa ni?'' ''Emm, tadi Auni mimpi sambut pagi Syawal tiba,'' balasku apabila terasa sedikit kesegaran.