Manage PermissionsManage Permissions

Memori Perhimpunan Sastera Budaya Negara Serumpun (PSBNS)

25/05/2015

Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif


 cetusan minda

BILANGAN 122

BUDAYA lahir dari pemikiran manusia, dari imaginasi kreatif manusia, dari pengalaman bersama anggota bangsa itu berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Dari pengalaman itu manusia membentuk pandangan hidupnya, mencipta nilainya, falsafah hidupnya tentang pelbagai prinsip, misalnya tentang prinsip atau nilai keadilan, nilai permuafakatan dalam kehidupan bermasyarakat, nilai moral, nilai kemanusiaan, dan sistem sosial. Nah, di sebalik setiap hasil seni, kesusasteraan, dan sistem sosial, ekonomi dan politik yang terdapat pada satu-satu bangsa ada nilai dan falsafah atau prinsip tertentu yang membolehkan kita mengenali tamadun dan jati diri bangsa itu, dan membezakannya daripada jati diri atau tamaduan bangsa lain.

Yang pasti, manusia tidak akan kekal hidup di dunia ini jika mereka tidak mempunyai akal dan daya kreatif untuk mencipta perubahan dan pembaharuan, dan dengan demikian untuk terus memperbaiki keadaan hidupnya sepanjang zaman. Tetapi yang penting kita sedari ialah proses perubahan atau proses dinamik budaya ini tidak berlaku secara meliar. Ada proses atau peraturan asas dalaman tertentu yang mengawal pertumbuhan dan perkembangan budaya itu.

Asas itu terletak pada nilai-nilai pokok, atau core values tertentu, yang dipegang dan dikongsi bersama oleh seluruh anggota masyarakat sejak turun-temurun sebagai panduan hidup bersama yang terbukti tahan zaman, 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.'

Nilai yang sudah tahan ujian zaman ini tidak hanya bersifat khusus berdasarkan pengalaman sesuatu bangsa sahaja, tetapi boleh juga bersifat sejagat mahupun serantau. Maksudnya nilai itu lahir dari minda atau fitrah manusia sejagat. Fitrah manusia akan menolak nilai budaya yang tidak sesuai, nilai yang boleh merosakkan manusia atau anggota masyarakat serta mengancam kemantapan dan keselamatan masyarakatnya.

Misalnya, untuk benar-benar memahami budaya Melayu tidaklah cukup sekadar kita mengetahui kulitnya, bentuk luarannya atau aspek ''upacara''nya. Tidak cukup kalau kita berkata bahawa kita adalah bangsa Melayu semata-mata berdasarkan perbuatan kita mengamalkan ciri-ciri luarannya sahaja sedangkan nilai dalamannya tidak kita fahami dan tidak diamalkan dalam kehidupan seharian, atau tidak dijadikan acuan dalam pembangunan negara bangsa. Faham-faham sahajalah!

Untuk memahami sistem nilai budaya Melayu, kita harus memahami bagaimana orang Melayu berfikir. Ringkasnya kita boleh berkata bahawa pemikiran Melayu bersifat sintesis atau holistik, iaitu menyeluruh. Orang Melayu menggunakan data dari pengalaman dan pemerhatian empirikal (bukan teori) di sekeliling alam mereka, untuk membentuk pandangan hidup, atau falsafah hidup, mencipta makna yang mesej dan nilainya dapat kekal sepanjang zaman.

Kaedah berfikir orang Melayu, pun boleh juga diluaskan kepada majoriti warga negara serumpun, tidak sahaja bersifat empirikal, dengan menggunakan kuasa inderawi atau pancaindera mereka untuk memahami realiti alam di luar diri mereka, untuk memahami kelakuan manusia dan keadaan sosial, tetapi juga bersifat abstrak dan metafizik. Warga negara serumpun berfikir melalui metafora, melalui kiasan, melalui perbandingan, melalui tamsil ibarat dan melalui lambang. Misalnya dalam pantun empat kerat, rangkap pertama yang disebut sebagai rangkap pembayang maksud, digunakan secara kreatif (bersadarkan permerhatian empirikal dan imaginasi yang mendalam) untuk melahirkan maksud pada rangkap kedua berikutnya.

Berkaitan dengan sastera budaya pula, ianya mempunyai tempat yang penting dalam mana-mana negara serumpun. Kesusasteraan adalah pengucapan atau tulisan yang tergolong dalam jenis yang kreatif-imaginatif dan berlainan dari tulisan-tulisan yang informatif dan persuasif seperti berita dalam surarkhabar, buku ilmu pengetahuan dan iklan. Tulisan-tulisan yang informatif dan persuasif fungsinya sebagai alat bagi melahirkan akibat atau hasil di luar tulisan itu sendiri. Tulisan kreatif-imaginatif, misalnya pantun, syair, puisi, drama atau apa saja jenis genre sastera yang lain, kepentingannya terletak pada karya itu sendiri sebagai sesuatu yang seolah-olah boleh berinteraksi dengan intelek dan emosi pembaca, pendengar atau khalayaknya. Erti tulisan karya itu terkandung pada keseluruhan karya itu. Kesatuan karya pula terletak pada komponen-komponen penting bentuknya seperti metaforanya, perkembangan imej, pola-pola bunyi dan lambang. Unsur-unsur ini tidak berdiri sendiri tetapi saling sandar-menyandar dan fungsional keadaannya sehingga sekalian mewujudkan suatu bentuk yang baik lagi sempurna.

Bertolak dari pemikiran inilah penulis teruja untuk ikut serta bagi pertama kalinya dalam Perhimpunan Sastera Budaya Negara Serumpun (PSBNS) kali Ke-3, berlangsung pada 23 hingga 25 April 2015 yang baru lalu. Perhimpunan ini anjuran Sekretariat PSBNS dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), ketuanya ialah Jasni Matlani.

Penulis beli tiket kapal terbang pada petang 22 April itu juga, lalu ajak isteri untuk pergi ke Kota Kinabalu keesokan harinya. Perhimpunan ini berlangsung di Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya, KK, Sabah. Penulis dan isteri bertolak pada petang 23 April dengan pesawat RB, jadi penulis tak sempat hadir pada pembukaan rasminya pada pagi 23 April itu, dan juga tak ikuti program hari itu kecuali sebelah malamnya saja.

Pagi Khamis, 23 April itu, penulis kirim pesanan ringkas melalui telefon bimbit kepada Haji Jawawi untuk minta pertolongan agar nama penulis dan isteri dicatat sebagai pemerhati perhimpunan itu sahaja. Minta tolong tempahkan sebuah bilik di hotel yang sama di tempat penginapan para peserta perhimpunan. Para peserta perhimpunan ini datangnya daripada Sabah, Sarawak, Semananjung Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.

Penulis sedia maklum Haji Jawawi, seorang aktivis belia sastera dan budaya, jarang sekali mungkir dalam perhimpunan serupa ini baik dalam negeri mahupun luar negara pasti menghadiri perhimpunan ini. Haji Jawawi bin Haji Ahmad (nama penanya HJR) adalah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) pada tahun 2004 melalui antologi puisi bertajuk ''Lahar''. Alhamdulillah, penulis dan isteri diambil oleh HJR dan isterinya yang sudahpun awal datang ke KK dengan menggunakan kereta sendiri pada 22 April lalu. Ikut serta ialah Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah (nama penanya Rahimi A.B), penerima anugerah The S.E.A. Write Award pada tahun 2005. Rahimi A.B. adalah Ketua ASTERAWANI manakala HJR adalah Ketua II ASTERAWANI. Terima kasih sahabat, alhamdulillah.

Dalam perjalanan menuju ke tempat penginapan dari airport itu, penulis mendapat tahu bahawa Ibnu 'Abdir-Raheem (nama pena bagi Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim) dan isterinya, serta Haji Hakim bin Haji Yassin pun juga ikut dalam perhimpunan ini. Mereka naik pesawat RB tiga hari lebih awal daripada penulis.

Ibnu 'Abdir-Raheem pernah belajar di Madrasah Al-Juned, Singapura sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Klang, Selangor. Sempat jadi siswa di Universiti Malaya dari tahun 1971 hingga 1973 tapi ''tidak dibolehkan mengambil peperiksaan akhir bagi ijazah Pengajian Islam'' bukan kerana tidak layak. (Tolong rujuk dan baca Cetusan Minda saya bil : 104 dalam Pelita Brunei keluaran Sabtu, 14 Disember 2013 yang menyentuh isu penarikan balik pelajar Brunei dari Malaysia ini). Meneruskan pengajian di University of Lancaster, England dan berjaya memperolehi ijazah.

Ibnu 'Abdir-Raheem bergiat dalam penulisan syair. Bukunya bertajuk ''Syair Madah Permata'' terbit pada tahun 2004, kemudian dicetak lagi bagi edisi kedua pada tahun 2013 oleh DBP, Brunei. Edisi ini dicetak dalam dua versi, iaitu Rumi dan Jawi, di samping ditaruh nombor pada setiap rangkap. Edisi ini memberi kemudahan untuk para pengkaji sastera, jika mahu membedah-uji karya ini!

Dr. Zurinah Hassan, penyair tersohor Malaysia, secara akademik pernah membedah-ulas ''Syair Madah Permata'' semasa PSBNS Ke-2, pada 23 November 2014 di Bandung, Indonesia. Pun dibedah-karya oleh penulis dan penyair Indonesia, Handoko F. Zainsm pada Mac 2014 di Universitas Al-Azhar, Jakarta. Kedua-dua acara ini dihadiri oleh Ibnu 'Abdir-Raheem bersama isterinya.

Haji Abdul Hakim bin Mohd Yassin pula adalah mantan Pengarah DBP, kini aktivis sukarelawan dan masih cergas libatkan diri dalam bidang sastera budaya tanah air dan serantau. Dulu giat menulis esei sastera, kritikannya tajam dan membina tapi penuh berhemah. Penulis teruja dengan esei sasteranya bertajuk ''Dua Buah Novel Mutakhir Sebuah Pembicaraan Perbandingan'' leat tahun 90-an, yang ulas-sentuk novel ''Orang Asing'' karya Chong Ah Fok.

Malam 23 April itu ada acara persembahan malam seni berlangsung di tingkat 12 di hotel tempat peninapan majoriti para peserta perhimpunan. Sambil menikmati hidangan, kita dihidangkan dengan nyanyian, tarian dan deklamasi puisi yang telah divideokan. Penulis sendiri, Haji Jawawi, dan isteri kami masing-masing dan Prof. Madya Haji Ampuan Ibrahim sudahpun mengalas perut dengan satay ayam, kambing dan satay urat di gerai makan. Bergegas ke gerai makan itu sebaik saja daftar masuk ke hotel penginapan.

Nah, sebaik sahaja masuk ke dewan acara itu penulis lihat terdapat lagi penggiat dan peminat sastera budaya dari tanah air mengikuti dalam perhimpunan itu. Ada Dr. Chong Ah Fok (datang dengan flight RB), nama penanya Eyuman. Telah menghasilkan tiga buah novel, iaitu ''Orang Asing''; ''Angin Pagi'' dan ''Titik-Titik Peluh'' selain rajin menulis cerpen dan puisi. Dia ini tenaga pengajar di Sekolah St. Andrew, Brunei. Katanya, nasib baik dibenarkan bercuti semata-mata bagi ikut perhimpunan ini.

Nampak juga Dr. Hajah Dayang Fatimah binti Haji Awang Chuchu, Pensyarah UBD, dengan suaminya Cikgu Haji Gapor. Pun ada Haji Yusuf Murni dan Haji Daud bin Taha dengan isteri masing-masing. Mereka datang ke KK dengan kenderaan sendiri dengan Haji Daud menumpang kereta Haji Yusuf Murni. Tunggu dulu, sahabat. Haju Yusuf Murni aktivis belia, sastera dan budaya.

Penulis menadah syukur kerana dapat bertemu dengan Haji Daud setelah lebih beberapa tahun tidak bersua dengannya. Nostalgia mula menghimbau, penulis duduk di sisinya sambil bual-bual jenaka. Sejenak terkenangkan kisah lama!

Kan halnya, bila ternampak Haji Daud bin Taha (nama penanya Mahabiru) penulis lantas teringat kisah kami semasa di Temburong pada akhir tahun 60-an. Waktu itu Haji Daud masih seorang guru, ditukar mengajar ke sebuah sekolah di Bangar. Penulis ketika itu diambil berkerja secara sementara sebagai pegawai di Jabatan Imigresen di Bangar dan tinggal di Rumah Persinggahan yang terletak di Kampung Menengah, Temburong. Rumah Persinggahan ini seakan rumah kongsi sederet yang punya enam buah bilik. Di sebelah kiri Rumah Persinggahan itu adalah tanah perkuburan puak Murut, di belakangnya pula ialah Sungai Temburong. (Jangan keliru, ini bukan ''Rest House'' di Bangar yang dimomokkan ada ''hantu penunggu'' itu). Di Temburong ketika itu ada dua tempat yang dipanggil sebagai Rumah Persinggahan atau ''Rest House''. Kami tinggal di rumah persinggahan di Kampung Menengah. Tika itu masih bujang.

Malam-malam kami bertiga duduk di serambi bual-bual ringan setelah nikmati hidangan. Nah, kami ketika itu gunakan tambak jenis ''semawar'' untuk masak nasi, lauk pauk. Tika itu mana ada dapur gas di Temburong. Dalam bab masakan ini Haji Daud sering masak lauk rebus, bubuh asam aur-aur dan kunyit sikit boleh habis nasi dua pinggan. Woooo, sedapnya! Kami saling makan bersama macam adik beradik. Ikut sama ialah aruah Omar Johari (moga dicucuri rahmat), seorang pegawai Cawangan Khas (SB) berpangkat Inspektor pun tinggal di situ.

Di situlah penulis mula berkenalan dengan Mahamiru. Dia ini rajin menulis puisi. Sebaik saja jadi Pensyarah di UBD setelah dapat ijazah sarjana dari UKM, Malaysia, dia semacam menggantung pena. Penulis jarang baca lagi puisinya atau mungkin penulis terlepas pandang. Maaf cakap, sahabat. Kenang-kenanglah kurapak-kurapak kita di Bangar! Masih muda remaja tu, kini udah jadi warga platinum!

Pun ada juga bekas guru Sekolah Menengah Awang Semaun dengan isterinya, iaitu Cikgu Awang Ramli bin Aliomar. Dia ini datang dengan kereta sendiri. Itulah perwakilan Brunei dalam perhimpunan ini, iaitu 15 orang semuanya.

Acara kemuncak persembahan malam seni ialah ialah putaran video deklamasi puisi yang bertajuk ''Gaza Bermandi Darah Negara Menerima Musibah'' karya Datuk Haji Mohammad Din Yusoh, kelahiran Negeri Melaka. Bekas pelajar Madrasah Al-Juned, Singapura dan Kolej Islam Kelang. Malam itu dia berpakaian sederhana, tokoh korporat yang berjaya. Masa menuntut di Kolej Islam Kelang dia tergolong anak yatim. Pernah hendak diberhentikan sekolah kerana tidak mampu bayar yuran persekolahan, penuntut Brunei yang belajar di kolej itu bersatu hulurkan duit masing-masing untuk bayar yuran itu. Kenangan itu amat membekas dalam jiwanya. Dan tika dia berkunjung ke Brunei pada minggu kedua September 2014, dia yang seharusnya diraikan oleh bekas penuntut Al-Juned dan Kolej Islam Klang itu semacam ''mengimbau keikhlasan ihsan'' pelajar Brunei di Kelang lebih 50 tahun yang lalu. Maksud penulis ialah Haji Mohammad Din Yusoh yang membayar atau berbelanja jamuan malam Alumni Kolej Islam di sebuah resturan terkemuka di Brunei walhal tika itu dia adalah 'tetamu' kepada bekas rakan-rakannya. Itu kehendak dan niatnya. Gimana mahu tolak walhal rata-rata bekas rakan sekolejnya itu lebih daripada mampu untuk membayar jamuan itu.

Puisinya ini agak panjang, menceritakan tentang penderitaan warga Palestin oleh kerakusan ''bangsa Yahudi angkuh dan megah, tak boleh ditegur tak boleh dimarah, siapa yang marah kena ketulah, itulah Yahudi penghisap darah''. Hanya kurang 17 minit durasinya yang hampir satu jam lihat visual dan dengar deklamasi yang telah dirakam itu. Tapi amat menyiksa minda kerana penderitaan yang dialami warga Palestin itu.

Kan halnya, puisi ''Gaza Bermandi Darah Negara Menerima Musibah'' ini pernah dideklamasikannya sendiri bersama mantan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahamd Badawi pada 5 Ogos 20145 di Rumah Badawi, Kuala Lumpur. Pun juga didendangkan pada 11 September 2014 oleh Alumni Kolej Islam Klang di Brunei; di Melaka tempat kelahirannya di Malam Cinta Rasul yang dihadiri hampir 100 ribu peserta. Buku puisi 10 muka surat ini dicetak 200,000 (dua ratus ribu naskhah) atas perbelanjaan sendiri dan diberi secara percuma. InsyaaAllah, akan disambung memori ini di siri yang lain. Disudahi dengan rangkap-rangkap puisi ini yang dimuat di muka depan buku puisi ini. Mohon bangsa dan negara kita jangan dikhianati, jauhkan musibah dan musuh dalam selimut yang kita tak kenali, semoga kekal bahagia bangsaku ini, dunia dan akhirat kita diberkati, itulah Melayu yang mempunyai jati diri dan integriti, bangsa bermaruah akan dihormati. Jumpa lagi di siri lain mengenai PSBNS ini. Di tanah air, PSBNS ini mula diterajui oleh Ibnu 'Abdir-Raheem. InsyaaAllah, akan disambung. Terima kasih, kanda!

Attachments